Nilai dan Falsafah

ESTETIKA DALAM KARYA AGUNG

Estetika berasal dari bahasa Latin ‘aestheticus’ atau bahasa Yunani ‘aestheticos’ yang bersumberkan dari kata ‘aithe’ yang bererti merasa. Estetika dapat dedifinisikan sebagai susunan bahagian dari sesuatu yang mengandung pola.
          Pandangan Plato tentang keindahan dapat dibagi menjadi dua. Yang satu tentang dunia idea, sedangkan yang lain nampaknya lebih membatasi diri pada dunia yang nyata. Pandangan kedua menyatakan bahawa yang indah dan sumber segala keindahan adalah yang paling sederhana, yang dimaksud “sederhana” adalah bentuk dan ukuran yang tidak diberi batasan lebih lanjut berdasarkan sesuatu yang “lebih sederhana” lahi. Oleh sebab itu, keindahan seperti ini bersifat terpilah-pilah. Keindahan seperti ini hanya dapat ditunjukkan, misalnya warna merah. Kendatipun, yang majmuk juga dapat dialami sebagai sesuatu yang indah, jika tersusun secara harmonis berdasarkan sesuatu yang betul-betul sederhana.

Estetik Dalam Gaya Bahasa

Dalam teks-teks hikayat, unsur-unsur keindahan bahasa diaplikasikan untuk menyalurkan pemikiran dan pandangan terhadap sesuatu tema dan persoalan. Unsur bahasa dalam sesebuah teks hikayat tidak secara langsung menjadi cerminan jati diri penulis kerana khalayak dapat mengenali diri pengarang melalui penggunaan gaya bahasa dalam teks yang dihayati.
          Antara beberapa contoh unsur bahasa yang sering didapati dalam teks hikayat ialah metafora, personafikasi, simile, hiperbola, simbolik, repitisi dan sebagainya. Unsur bahasa ini digunakan dalam teks hikayat bagi menimbulkan keindahan luaran dan kepelbagaian maksud cerita. Seni keindahan bahasa atau estetik dalam sastera hikayat dapat diperhatikan melalui gambaran perlukisan taman-taman, kejelitaan puteri, keindahan pakaian dan sebagainya oleh pengarang teks hikayat.
          Dalam Hikayat Inderaputera umpamanya, pengarang telah menggunakan dan memanipulasikan unsur bahasa bagi membentuk cerita. Di antara gaya bahasa tersebut ialah unsur personafikasi yang digambarkan dalam satu babak sewaktu Inderaputera sedang menikmati keindahan Bukit Permata. Gambaran tersebut dinyatakan oleh pengarang seperti berikut :

Seketika lagi bukit permata itu pun berdengung-dengunglah seperti bunyi buluh perindu, terlalu indah bunyinya itu. Maka Inderaputera pun duduk seketika, maka ia pun segeralah berjalan daripada itu. Sebermula jikalau lain daripada Inderaputera nescaya tinggallah ia di sana dengan sebab bunyinya itu, demikianlah adanya.
                                                       (Hikayat Inderaputera)

Personafikasi dalam ayat di atas ialah pada “bukit permata itu pun berdengung-dengunglah seperti buluh perindu”. Unsur perorangan telah diberikan kepada bukit permata bagi memberi gambaran keindahan pada bukit tersebut.

Estetik dalam Niai Keislaman

Estetika Islam juga turut ditonjolkan dalam kebanyakkan karya agung Melayu. Unsur keindahan ini dapat dilihat pada setiap permulaan sesebuah karya agung. Contohnya dalam karya agung Bustan al-Katibin karya Raja Ali Haji. Pada permulaan kitab tersebut dimulai dengan memuji kebesaran Allah dan Nabi Muhammad.

Al-hamdulillah ladzhi akhraja bi’ibadi mina ‘i-jahili wa’z-zalami, wa’s-solatu wa’salamu ‘ala Sayyidina Muhammadan fasha’i-lughata wa ‘i-kalama wa ‘ala alihi wa asha bihi hum ahli ‘i-fadli wa ‘i-akram.

Ertinya, segala puji bagi Allah tuhan yang mengeluarkan akan hamba-Nya (daripada) bodoh dan gelap; dan rahmat serta salam-Nya atas penghulu kami Nabi Muhammad yang terlebih fasih daripada segala bahasa dan terlebih fasih daripada segala perkataan;dan atas keluarganya dan segala sahabatnya iaitu segala mereka itu yang ahli kelebihan dan kemuliaan.                                                                                        (Bustan al-Katibin)

Petikan diatas memperlihatkan keindahan pada penggunaan bahasa Arab bagi menunjukkan estetika keislaman. Karya agung banyak dipengaruhi dengan Islam kerana pengarang pada masa tersebut menerima pengaruh bahasa asing seperti bahasa Arab.


          Estetika Dalam Wit dan Humor

Selain daripada itu, dalam karya agung turut dimasukkan unsur-unsur wit dan humor yang menjadikan sesebuah karya agung tersebut hebat dan mempunyai nilai estetika yang tersendiri. Wit dan humor dimasukkan dalam penceritaan karya agung memberi nilai estetika kepada karya agung yang dikarang. Dalam Sejarah Melayu misalnya, Tun Seri Lanang memasukkan teknik wit dan humor sekaligus mencantikkan keindahan dalam karya tersebut.

          ‘Tun Pepatih Putih menghadap Negara China. Ia makan kangkung pada
       Masa mengangkat kangkung itu ke atas ia dapat melihat raja China dengan nyatanya”
                                                (Sejarah Melayu :95)

          Estetik dalam Kebudayaan Melayu

Nilai estetika bukan sahaja dapat dilihat dari segi bahasa, pemikirannya semata-mata. Unsur- unsur adat istiadat Melayu yang diperlihatkan dalam sesebuah karya menjadikan karya tersebut lebih indah. Nilai keindahan Melayu merupakan sebuah nilai estetika dalam sesebuah karya. Dalam karya agung seperti HIkayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu banyak memasukkan kebudayaan dan adat istiadat Melayu serta diselitkan beberapa buah pantun bagi mengindahkan lagi sesebuah karya.

                   “Sultan Mahmud Syah mengadakan adat mengurniakan
                     Usungan kepada Bendahara dan Laksamana”
                                                  (Sejarah Melayu :140)




IDEALISME DAN FALSAFAH MELAYU

Idealisme dan falsafah merupakan dua elemen sastera yang saling bertentangan. Penggunaan kedua-dua elemen ini ke dalam sesuatu karya sastera, iaitu karya agung khususnya amat popular dalam kalangan pengkarya-pengkarya satu ketika dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, idealisme bermaksud sifat melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal (2010: 558).
          Menurut W.F Hocking pula, idealisme merupakan realiti yang terdiri daripada idea-idea, fikiran-fikiran, akal (mind) atau jiwa (selves) dan bukanlah kekuatan atau kebendaan. Berdasarkan pendefinisian tersebut, jelas menunjukkan bahawa idealisme memerlukan daya imaginasi yang tinggi dan kreatif untuk menghasilkan sesuatu bentuk karya sastera. Idealisme adalah aliran yang menilai tinggi angan-angan (idea) dan cita-cita (ideal) sebagai hasil perasaan daripada dunia nyata. Aliran ini pada awalnya dikemukakan oleh Socrates (469-399 SM) yang dilanjutkan oleh muridnya yang bernama Plato (427-347 SM).
          Idealisme mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Antara kelebihan idealisme ialah idealisme berteraskan kesedaran intelek dan system berfikir secara rasional dan logik untuk mengenal pasti sesuatu kebenaran. Logik adalah alat untuk menentukan tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan pada satu-satu situasi. Walaupun begitu, idealisme tetap mempunyai kelemahan. Keadaan ini disebabkan oleh, anggapan terhadap sesuatu nilai atau kebenaran yang kekal sepanjang masa masih tidak mendapat persetujuan serentak daripada manusia tentang beberapa perkara. Logik adalah kunci asas idealisme tetapi tidak semuanya boleh digunakan kerana terdapat perubahan dari semasa ke semasa.
          Bagi maksud falsafah pula, istilah falsafah berasal dari Yunani “philien” dan “Sophia”. “Philien bermaksud “mencintai” atau “sahabat” dan “Sophia” adalah “kebijaksanaan” atau “pengetahuan”. Menurut Robert Zeuscher, ahli-ahli falsafah merupakan orang yang mencintai kebijaksanan dan mempunyai minat mendalam terhadap ilmu pengetahuan.
Falsafah dimaksudkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 406). Ilmu yang dimaksudkan tersebut adalah pengetahuan yang amat luas kepada sesuatu bentuk haikat yang mendasari kepada semua ilmu berkaitan dengan hal tersebut. Bagi Hashim Hj. Musa pula, falsafah disifatkan oleh beliau sebagai kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Pentakrifan yang dibuat oleh tokoh Melayu ini masih lagi berkisar mengenai cakupan keseluruhan ilmu dan bidang tentang pengetahuan manusia.
          Kedua-dua elemen ini diadaptasikan oleh tokoh-tokoh sastera ke dalam karya mereka untuk memperjelaskan lagi tujuan dan idea yang ingin disampaikan dalam sesuatu karya agung itu. Hal ini demikian kerana, elemen-elemen tersebut amat sesuai dan bertepatan dengan kehendak pembaca. Dalam pada itu, para pengkarya itu juga menerapkan kedua-dua elemen ini agar pembaca dapat membuat penganalisisan tentang sesuatu karya tersebut dengan lebih mudah.
          Tujuan falsafah adalah untuk mencari kebenaran tentang sesuatu permasalahan dengan cara berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Sesuatu perkara itu akan menjadi persoalan falsafah apabila ia tidak dapat diselesaikan melalui kaedah dan pengamatan sains. Persoalan falsafah juga biasanya melibatkan perkara-perkara yang abstrak seperti persoalan konsep dan ideologi. Secara rumusannya, falsafah merupakan suatu pemikiran yang amat mendalam dan menyeluruh terhadap sesuatu perkara dalam usaha mencari kebenaran.
          Jelaslah bahawa penerapan idealisme dan falsafah dalam sesuatu karya agung amat diperlukan dalam pengoperasian sesuatu karya agung. Dalam pembicaraan yang dilaksanakan tertumpu kepada empat, iaitu idealism bersumberkan alam, falsafah bahasa,falsafah Islam dan falsafah Melayu.

Idealisme Bersumberkan Alam

Idealisme terbahagi kepada beberapa aliran iaitu romatisme, simbolisme, ekspresionisme, mistisme dan surealisme. Namun yang menyentuh mengenai sumber alam hanyalah aliran idealisme bagi sombolisme iaitu aliran kesusasteraan yang menyajikan tokoh-tokoh bukan manusia tetapi binatang dan tumbuh-tumbuhan yang disimbolkan sebagai perilaku manusia. Binatang-binatang atau tumbuh-tumbuhan diperlukan sebagai manusia yang dapat bertindak, berbicara, berkomunikasi, berfikir, berpendapat sebagaimana halnya manusia.

          Jika kita melihat, mengkaji dan menghayati karya-karya yang dihasilkan oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu, kita pasti akan menemui banyak perumpaan-perumpaan yang dihasilkan pasti menggunakan sumber-sumber alam. Misalnya, perumpaan, pantun, simpulan bahasa dan sebagainya. Mereka menggunakan sumber-sumber semulajadi ini kerana perkara tersebut sangat dekat dengan mereka. Pantun misalnya banyak digunakan untuk memberi nasihat, pengajaran, dan sindiran kepada masyarakat dalam kehidupan seharian. Kita boleh melihat bagaimana pengarang-pengarang Melayu pada zaman dahulu menggunakan sumber-sumber ala mini untuk menyampaikan sesuatu. Keadaan ini cukup jelas dilihat dalam himpunan pantun-pantun Melayu yang terdapat dalam “Bingkisan Permata”.
Sesebuah karya seharusnya memiliki falsafah, pemikiran dan persoalan yang agung dan penting. Hal inilah yang disebutkan oleh tokoh pengkritik karya sastera, Greek Dionysus Cassius Longinus. Hal ini membuktikan bahawa sesebuah karya sastera, terutamanya karya agung pasti memiliki cirri pemikiran tertentu yang juga disebut sebagai idealisme.
          Seterusnya, idealisme yang akan dibincangkan dalam karya agung Melayu adalah idealisme karya yang bersumberkan alam. Perbincangan berdasarkan idealism yang bersumber ala mini dapat dikategorikan kepada beberapa pecahan, misalnya berkaitan tumbuh-tumbuhan, haiwan, angkasa, sosialisasi dan sebagainya. Kehidupan manusia tidak lari daripada alam, malah banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan sebagai seorang manusia sering dikaitkan dan diumpakan dengan alam ciptaan Tuhan, tidak kira dari segi tumbuhan, haiwan, angkasa, lautan mahupun hubungan antara masyarakat, iaitu sosiolisasi.
          Hal ini banyak diungkapkan dalam karya-karya agung Melayu klasik. Mortimer Jerome Adler menyatakan, berdasarkan isu utama berkenaan tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia sebagai bentuk hidupan yang berkesinambungan atau jelas berbeza, maka kajian organism haiwan, anatomi dan fisiologinya memperoleh banyak kepentingannya (2007: 12).
Bukan sahaja pada satu bahagian, malah pada ketika menulis manusia juga tidak dapat lari dari dikaitkan dengan alam. Bagi membuktikan hal ini, jadual di bawah disediakan untuk memaparkan antara contoh karya agung yang penulisannya, pemikirannya atau idealismenya berhubungkait serta bersumberkan alam.

Sumber
Contoh
Lautan
Maka Raja Suran fikir dalam hatinya, “Bahawa isi darat telah aku ketahuilah, dan segala isi laut bagaimana gerangan rupanya? Jika demikian, baik aku masuk ke dalam laut, supaya aku ketahui betapa halnya.”  (Sulalat al-Salatin, 2003:14)

Petikan ini menunjukkan bahawa penulis berasa perlu untuk memasukkan unsure alam dalam pengkaryaannya meskipun kadangkala dilihat hal itu tidaklah begitu penting. Hal ini membuktikan bahawa kaitan antara manusia dan alam seperti lautan juga adalah sesuatu yang dianggap sebagai keperluan.

Api dan air
“Bahawa demikianlah susahnya aku ini dipeliharakan oleh ibu bapaku : seperti meniup api dalam air, adanya”  (Hikayat Abdullah, 2004:15)

Petikan ini pula menunjukkan terdapat penggunaan perumpaan yang dikaitkan dengan kehidupan manusia melalui kepengarangan kisah hidup Abdullah yang ditulis oleh beliau sendiri.
Kaitan antara
 manusia
Maka sebab itulah kata arif : Apabila engkau dapat wang, belikan emas; maka jualkan pula emas itu, belikan pula intan; maka jualkan pula intan itu, belikan manikam; jualkan pula manikam itu, belikan ilmu. Maka demikianlah besar kemuliaanya itu serta dengan teguh setianya kepada orang yang mendapat dia itu.”
                                      (Hikayat Abdullah, 2004:20)

Dalam penulisan karyanya, Abdullah Munshi turut memasukkan kata-kata dari bijak pandai yang menunjukkan bahawa beliau mengambil tahu hal ini daripada orang yang lebih arif. Kebiasaannya juga, hal ini dikatakan oleh orang berilmu dan orang tua-tua kepada orang muda. Hal ini menunjukkan idealism bersumberkan alam berkaitan hubungan sesama manusia dalam hidup bersosial.

Alam
“Maka adalah ia itu diumpamakan seperti suatu tiang batu adanya. Maka barang betapa berat ia ditangguhkan di atasnya, ditahannya juga. Maka jikalau sekiranya terlampau daripada adat beratnya itu, remuklah ia, patah sekali, tetapi tiada ia tahu melentur atau bongkok, seperti tiang kayu dan sebagainya.
                                                                  

Falsafah Bersumberkan Islam

Falsafah karya agung terutamanya karya agung dunia Melayu turut diilhamkan oleh pengarangnya melalui agama Islam yang menjadi pegangan agama majoriti bangsa Melayu. Hal ini dibuktikan melalui sebuah buku daripada Yayasan Karyawan (2000: 13) yang menyatakan tiga faktor utama terhasilnya karya agung Melayu iaitu;

 a) kekuatan bahasa Melayu,
 b) pengaruh Islam,
 c) peranan istana dan sekolah pondok.

Hal ini membuktikan bahawa falsafah yang terdapat dalam karya agung terdapat juga yang bersumberkan Islam, iaitu memperlihatkan keislaman dalam penghasilan karya. Setelah pengaruh agama Hindu menjadi pudar dalam diri masyarakat Melayu, munculnya Islam di dalam dunia Melayu. Sekitar abad ke-12 dan ke-13, beberapa buah kerajaan Melayu-Islam telah ditubuhkan di Perlak (Pasai). Perkara ini menyebabkan berakhirnya pengaruh kerajaan Melayu-Srivijaya yang pada masa tersebut masih dalam kekuatan pengaruh Hindu. Agama Islam seterusnya disebarkan secara meluas, bukan sahaja dalam kalangan alim ulama’ tetapi juga turut disebarkan kepada rakyat.

        Pada ketika ini dikatakan masyarakat Melayu masih menggunakan bahasa lisan sehinggalah tiba suatu ketika apabila masyarakat Melayu sudah mula mempelajari abjad Arab untuk menulis bahasa Melayu. Dengan bermulanya perkembangan tulisan ini, bermulanya suatu zaman baru dalam dunia Melayu, iaitu zaman perkembangan ilmu dan pemikiran yang didasarkan kepada ajaran agama, iaitu tauhid dan pandangan Islam sejagat. Hal ini juga dapat dikaitkan dengan istana kerajaan Melayu-Islam pada zaman tersebut yang menjadi pendukung kepada kegiatan penulisan yang membentuk warisan bangsa.
          Kitab al-Qur’an merupakan sumber utama kepada falsafah Islam kerana al-Qur’an adalah kitab petunjuk dan rahmat buat sekalian alam. Mohd Rashid Md Idris ada menyatakan bahawa al-Qur’an itu adalah kitab yang Haq dari yang maha Haq, tiada keraguan, tiada kebengkokan, tiada kesilapan dan kesalahan, tiada percanggahan dan pertentangan, kitab yang terpelihara, kitab yang diberkati, kitab yang menjadi cahaya dan penghidup jiwa, kitab yang menjadi penjelas dan penerang, kitab yang menjadi penawar dan pengubat jiwa, dan kitab yang menjadi pemutus kata (2007: 53).
          Hal ini membuktikan bahawa Islam dan falsafahnya memberikan seratus peratus keyakinan kepada penganut agamanya. Hal ini juga menyebabkan masyarakat Melayu-Islam sejak dahulu sangat yakin akan kebaikan menurut ajaran seperti yang dinyatakan dalam agamanya. Dengan itu, tidak hairanlah di dalam penulisan pengkarya klasik dahulu kala terutamanya mereka yang beragama Islam seperti Nuruddin al-Raniri, Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji, Munshi Abdullah dan tokoh-tokoh yang lain suka untuk mencetuskan pemikiran berasaskan falsafah Islam dalam karya mereka.
           Hal ini dapat dilihat dalam contoh yang terdapat dalam penghasilan karya Sulalat al-Salatin karya Tun Sri Lanang. Agama Islam menyarankan seseorang rakyat untuk mentaati pemerintahannya selagi pemerintah tersebut tidak berlaku zalim. Kesetiaan seorang rakyat kepada sultan ini dibuktikan melalui penghasilan karya Sulalat al-Salatin yang merupakan titah sultan kepada seorang pengarang iaitu Tun Sri Lanag. Titah tersebut dinyatakan dalam karya Sulalat al-Salatin yang berbunyi :

“diperbuatkan hikayat perturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya supaya didengar oleh anak cucu kita yang kemudian dari kita dan ketahuinyalah segala perkataan syahadan beroleh faedahlah mereka itu daripadanya”
(Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung, 1993 :3)

Falsafah Bersumberkan Melayu

Kehidupan masyarakat Melayu tidak boleh terlepas daripada peraturan dan disiplin. Oleh yang demikian, mereka menerapkan unsur tersebut di dalam karya mereka. Misalnya, mereka menekankan konsep budi dalam kehidupan mereka. Konsep budi tersebut pula terbahagi kepada lima, iaitu budi bahasa, budi pekerti, budi bicara, hati budi dan akal budi (Mohd Rashid Mohd Idris, 2011: 63). Penerapan unsur-unsur tersebut dapat diperhatikan dalam contoh yang berikut:

1)Budi bahasa

Budi bahasa dan budi bicara yang mulia merujuk kepada pertuturan yang manis, sopan, positif, bijaksana, bernas dan penuh pengajaran, serta memberikan sumbangan kepada khalayak dan pendengarnya (Mohd Rashid Idris, 2011: 64). Contoh penerapan unsur ini dalam karya agung dapat dilihat dalam contoh di bawah:

“Pada masa itulah wafat Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani iaitu pada malam Isnin 12 haribulan Rejab, pada Hijrah 1039 tahun, bahawa Syeikh itu alim pada segala ilmu tasawuf dan beberapa kitab yang ditaklifkannya.”
                                                  (Sumber: Bustan al-Salatin, 1992)

Ini menunjukkan bahawa Nuruddin adalah seorang individu yang mempunyai budi bahasa yang tinggi. Hal ini demikian kerana walaupun beliau bertelagah dengan Syamsuddin, beliau tetap menghormatinya sebagai seorang ulama dan manusia biasa. Ungkapan yang dinyatakan oleh Nuruddin adalah satu pengiktirafan oleh beliau terhadap kewibawaan ulama tersebut.

2)Budi Pekerti

Bagi gagasan budi pekerti, ia lebih terarah kepada akhlak seseorang itu. Namun demikian, unsur kesantunan masih lagi menjadi akar kepada setiap perlakuan yang dihasilkan oleh seseorang individu itu. Menurut Mohd Rashid Md. Idris (2011), budi pekerti adalah satu aspek atau tingkah laku seseorang yang dinilai oleh masyarakat dari sudut baik dan buruk, atau halus dan kasar. Kelakuan tersebut merangkumi kelakuan yang bersopan-santun, tertib dan sebagainya. Nilai ini dapat diperhatikan dalam Syair Ken Tambuhan seperti contoh di bawah:

Jika ia dikasihi raja,
Tiadalah ia melanja-lanja,
Tiadalah menyombong pada bekerja,
Dengan taulannya bersamaan sahaja.          
                    (Sumber: Syair Ken Tambuhan)

Dalam petikan di atas, diperlihatkan sifat raja yang mengasihi rakyat dan melayan mereka sama rata. Hal ini demikian kerana, kebanyakan raja pada zaman dahulu kebiasaannya mementingkan kedudukan dan memandang rendah terhadap rakyat. Oleh yang demikian, dalam syair tersebut ditekankan sikap raja yang amat mengasihi rakyat dengan menunjukkan budi pekerti yang baik.

3)Budi Bicara

Pendefinisian budi yang seterusnya pula lebih cenderung kepada unsur toleransi dan tolak ansur dalam setiap perbuatan. Hal ini demikian kerana, kehidupan bermasyarakat yang mementingkan nilai kerjasama bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan aman. Dalam karya agung Syair Ken Tambuhan dinyatakan bahawa Raden Menteri seorang suami yang sanggup mencari buah pauh janggi keinginan isterinya yang sedang mengidam. Walaupun hatinya berat untuk meninggalkan isterinya yang berbadan dua, namun kerana kasih dan kasihan kepada isterinya, dia sanggup menghadapi sebarang bahaya. Justeru, sewaktu dia meninggalkan isterinya dan istana, dia berpesan dengan pesanan seperti berikut;

Ia berkata kepada ayah dan bonda,
Puteri sekalian putera anakanda,
Jikalau ada satu bahaya anakanda,
Puteri sekalian putera anakanda.      
          (Naskah koleksi DBP: 133/2011)

Petikan yang dinyatakan telah mencerminkan kepada pembaca bahawa nilai budi bicara ini amat dekat dalam kehidupan masyarakat Melayu pada ketika dahulu. Malahan nilai ini turut diterapkan dalam kehidupan berkeluarga khususnya.

4)Hati Budi

Hati budi pula bolehlah dikaitkan dengan istilah hati yang baik atau baik hati. Untuk melahirkan hati yang baik, seseorang itu perlu diasuh sejak kecil kerana kesucian hati akan menentukan perlakuan yang baik, tingkah laku yang bersopan dan akan dihindari daripada segala sifat-sifat yang negatif dan buruk. Aspek ini juga tidak lupa diterapkan dalam karya klasik Melayu. Sebagai contoh, ia dapat dilihat dalam petikan karya Bustan al-Salatin;

“kemudian dari itu maka kerajaan Sultan Hussain ibn Sultan Alaudin yang bergelar Sultan Ali Riayat Syah, pada hari ahad, sehari bualn Safar. Ialah sangat halm perangainya dan pengasih akan segala rakyatnya akan segala ulama, syfakat akan segala fakir dan miskin.”
            (Sumber: Bustan al-Salatin (selenggaraan) Siti Hawa Hj Salleh, 1992)

Petikan di atas menggambarkan seorang raja yang yang mempunyai hati budi yang baik yang mana beliau sangat mengasihi rakyat jelatanya walaupun beliau terdiri daripada golongan raja. Beliau sanggup menderma kepada rakyat yang memerlukan. Beliau amat mengasihi rakyat jelata sehinggakan segala kesusahan rakyat diambil tahu.

5)Akal Budi

Pertimbangan akal sangat diperlukan dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, melalui pertimbangan akal budi yang mementingkan kewarasan fikiran ini akan menentukan sikap seseorang itu sama ada mampu untuk bertanggungjawab dengan setiap perkara yang dilakukannya ataupun tidak. Kebiasaannya dalam masyarakat dahulu nilai ini sangat dipentingkan supaya seseorang individu itu mampu untuk mengurus diri, keluarga dan juga masyarakat. Nilai ini ada diselitkan dalam karya agung yang terdahulu. Contohnya dalam petikan yang berikut:

Namanya Raden Puspa Kencana,
Lakunya bijak laksana,
Akal bicaranya amat sempurna,
Sifatnya lengkap hamba laksana
(Sumber: Syair Ken Tambuhan, 2002: 5)

Pengarang menerangkan dalam syair tersebut berkaitan watak Raden Puspa Kencana yang sangat bijak dan cerdik. Hal ini terbukti apabila penyair menyatakan bahawa tidak ada seorang yang dapat mengalahkan beliau jika diajak untuk lawan berdebat. Nilai ini diselitkan dalam syair tersebut supaya mereka mencontohi sikap Raden Puspa Kencana yang bijak bagi mengelakkan diri daripada ditindas oleh orang lain.

Falsafah Bahasa

Konsep

Falsafah bahasa merupakan gabungan dua perkataan, iaitu falsafah dan bahasa. Namun kedua-dua entiti ini membawa kepada pemaknaan yang berbeza sama sekali. Falsafah merupakan gabungan dua kata, iaitu istilah Yunani philo (cinta) dan sophos (hikmat). Kebenaran dan keutamaan kata yang dibawa oleh Phytogras ini dapat disimpulkan sebagai pencinta kebijaksanaan. Bagi pendefinisian bahasa pula, merujuk kepada sistem lambang dan bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (Kamus Dewan Edisi keempat, 2010: 106).
 Pembicaraan tentang falsafah linguistik merangkumi kepada cakupan dasar falsafah dalam konsep dan istilah linguistik. Hal ini merujuk kepada penelitian tentang kaedah dan amalan yang digunakan oleh ahli-ahli linguistik deskriptif dalam disiplin mereka (Mohd Rashid Md Idris, 2012: 9). Bagi falsafah bahasa pula, aspek ini meneliti dan memeriksa berasaskan falsafah pengetahuan yang dipanggil conceptual knowledge atau ilmu dalam bentuk konsepsi, yang wujud dalam fikiran secara ilmu (knowledge), logik dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, dapat dirumuskan bahawa falsafah bahasa merupakan bidang yang menelusuri tentang sesuatu aspek bahasa dengan menggunakan konsep pengetahuan dan penggunaan dasar yang lebih mendalam bagi mencari kebenaran dalam setiap aspek yang ingin dikaji.

Teori Falsafah Bahasa 

Dalam falsafah bahasa ini, terdapat satu gagasan teori yang dikaji oleh Mohd Rashid Md Idris, iatu teori falsafah bahasa yang menggabungkan dua teori lain. Teori yang dimaksudkan adalah teori relatif dan teori kenuranian bahasa. Menurut beliau, manusia mempunyai bahasa dan dapat berfikir tetapi binatang tidak, kecuali dalam bentuk yang amat primitif dan erat hubungannya dengan naluri binatang tersebut.
Beliau menegaskan bahawa manusia dianugerahi Allah S.W.T dengan bahasa dan akal semata-mata untuk mengangkat martabat manusia sebagai makhluk ciptaan yang sebaik-baik kejadian. Oleh yang demikian, beliau menggunakan kerelevanan idea tersebut untuk menggabungkan kedua-dua teori tersebut kerana berpendapat kedua-dua unsur tersebut tidak boleh difikirkan secara terpisah.
Dalam teori yang digunakan oleh beliau, terdapat tiga bahagian yang dikemukakan, iaitu bulatan, anak panah (dua hala) dan garisan putus-putus. Bahagian ini dapat dijelaskan dalam rajah di bawah:
Prinsip Asas Pertama Dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa Mengikut Nahu
Secara umumnya, aspek ini menekankan tentang aspek tatabahasa dan makna ketika seseorang penutur itu berbahasa. Misalnya dalam karya agung Melayu yang menggunakan  bahasa untuk menyatakan sesuatu gambaran tentang kehidupan masyarakat Melayu. Dalam sejarah Melayu misalnya, menceritakan tentang kemasukan agama Islam ke Melaka, Sultan Muhammad Syah mengambil berat tentang tiga daripada lima Rukun Islam (Haron Daud, 1989: 45). Contohnya:

“Hatta, maka hari pun asarlah; maka datanglah kapal dari Judah. Serta ia… lalu ia bersembahayang di pantai Melaka itu.”

Petikan tersebut menggambarkan Saiyid Abdul Aziz mendirikan sembahyang dan mendapat perhatian ramai. Penulis memfokuskan kepada makna yang sempurna daripada petikan ayat tersebut yang menggambarkan perlakuan tersebut untuk menyedarkan tentang kepentingan menunaikan solat. Prinsip Asas Pertama Dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa untuk Menyampaikan Maklumat yang Benar.
         Dalam berbahasa, penutur haruslah menyampaikan sesuatu maklumat yang benar dan tidak berbaur fitnah.  Misalnya dalam sejarah Melayu, yang mana Hang Tuah difitnah oleh pembesar lain sehinggakan Hang Tuah dijatuhkan hukuman bunuh. Dalam hal ini, pemfitnah tidak akan memperolehi sebarang kebaikan malahan hanya akan merugikan diri sendiri. Malah Allah juga ada berfirman:

“Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar”                           
                 (dalam Mohd Rashid Mohd Idris surah al-Ahzab 33: 70)




NILAI ILMU DAN MAKLUMAT DALAM KARYA AGUNG

Konsep Ilmu dan Maklumat

Ilmu merujuk kepada kefahaman manusia terhadap sesuatu perkara, yang mana ia merupakan kefahaman yang sistematik dan diusahakan secara sedar. Pada umumnya, ilmu mempunyai potensi untuk dimanfaatkan demi kebaikan manusia.

          Ilmu merupakan pemahaman bermakna ataupun sesuatu yang memberikan makna kepada diri individu apabila datangnya sesuatu sumber maklumat yang dikatakan berkaitan dengan sesuatu kajian ataupun memerlukan kefahaman.Ilmu adalah berbeza dengan maklumat iaitu sesuatu maklumat tidak bererti atau bermakna sekiranya ia tidak dapat dijadikan makna atau mendatangkan makna kepada seseorang contohnya data-data dari komputer (binary code) tidak bermakna sekiranya tidak dirangkumkan untuk dijadikan perisian yang berguna kepada manusia dan ianya hanya akan kekal sebagai data.
Ilmu mengikut Prof Rr. Syed Naquib al Atas "sesuatu yg sampai ke dalam diri insan dan memberi makna dlm kehidupan". Prof Dr Hassan Langgulung pula, "ilmu sesuatu yg sampai ke dalam diri menjadi tahu yg asalnya tidak tahu". Ahli falsafah Socrates pula kata " ilmu adalah suatu pengetahuan yang benar". Plato pula kata "ilmu adalah pengetahun yg tepat". Kong Fu Zie (Confucius) kata pula "ilmu adalah suatu pengalaman yg pasti". Guru Nanak pula kata "ilmu adalah amalan yang bermakna dan berguna". Imam al Ghazali menjelaskan "ilmu adalah pengetahuan yg sistematik, benar dan meyakinkan". Itulah sedikit tentang pentakrifan ilmu yg dibaca.

           Beza ilmu dan maklumat: ilmu pasti benar dan maklumat belum pasti benar. Ilmu wajib disebar kerana ada kebenaran. Maklumat hanya boleh disebar jika dipastikan kebenarannya. Jika belum pasti benar disebar juga itu maklumat yg tidak benar dan jadi fitnah. Penyebar ilmu dapat pahala dan penyebar maklumat belum tentu dapat pahala, jika salah dapat dosa lagi, jika maklumat salah disebar juga lalu dipercayai org maka si penyebar maklumat perlu minta maaf kpd semua org kalau tidak dosanya tak akan terampun. Ini pendapat Imam al Ghazali. Tujuan ilmu adalah untuk dijadikan pedoman dan panduan yg boleh diguna bagi meneruskan kehidupan manusia. Jika digunakan utk mencari redha Allah maka kebenaranlah yg kita dapat dan sebaliknya jika disalah guna maka Allah tak redha. Inilah peraturan alam yg dikenali sebagai hukum Allah.

Jenis-jenis Ilmu yang Terdapat dalam "Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu"
  • Ilmu firasat
  • Ilmu pendukunan
  • Ilmu jampi
  • Ilmu pengasih

Ilmu Firasat

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ( 2010:412) ilmu firasat ialah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka iaitu anggota badan dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui lebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Menurut Dr. Seri Lanang Jaya et. al (2013:125) melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan dan kekuatan orang lain.

Dalam Hikayat Hang Tuah, terdapat beberapa peristiwa yang boleh dikaitkan tentang penggunaan ilmu firasat. Antaranya ialah berdasarkan kepada peristiwa mimpi yang telah di alami oleh Hang Mahmud. Melalui peristiwa tersebut, Hang Mahmud berpendapat bahawa sesuatu akan berlaku kepada Hang Tuah. Dengan itu, beliau telah berpesan kepada isterinya iaitu Dang Merdu agar sentiasa menjaga Hang Tuah. Hang Mahmud juga berfikir bahawa Hang Tuah patut diberikan ajaran yang sempurna. Namun, disebabkan keadaan di Kampung Sungai Duyung tidak mempunyai tempat pengajian yang sesuai untuk Hang Tuah, maka Hang Mahmud berpendapat mereka haruslah berpindah ke Bentan. Di Bentan, Hang Tuah telah diserahkan kepada seorang lebai untuk diajarkan mengaji al-Quran.

 “ Maka pada malam itu Hang Mahmud bermimpi bulan turun dari langit; maka cahayanya penuh di atas kepala Hang Tuah. Hang Mahmud pun terkejut lalu bangun daripada tidur, lalu diribanya anaknya Hang Tuah dan diangkatnya, maka diciumnya seluruh tubuh.
                                                                                  (Hikayat Hang Tuah : 23)

Dalam Sejarah Melayu juga memaparkan dengan jelas perkara tersebut dalam episod serangan Melaka ke atas Pahang. Bendahara Paduka Raja memerintahkan pahlawan-pahlawannya mengejar Maharaja Dewa Sura yang melarikan diri. Dalam usaha itu Seri Bija Diraja tidak tergesa-gesa seperti orang lain kerana dia tahu musuhnya itu tidak akan terlepas dari tangannya. Ini dapat dilihat daripada kata-kata beliau kepada anak buahnya.

Di mana kamu semua orang muda-muda tahu? Kerana Maharaja Dewa Sura ini sudah aku kira-kirakan namanya di bawah namaku, dan harinya di bawah hariku dan ketikanya di bawah ketikaku, di mana ia akan lepaskan daripada tanganku?

                                                                             (Sejarah Melayu :74)


Ilmu Perdukunan

Ilmu dukun ini dikatakan mengandungi tiga unsur iaitu unsur yang pertama ialah mesti adanya yang disebut sebagai kaahin (si pendukun), mutakaahin (peminta atau pesakit yang berjumpa dukun) dan mahkuun (kepada siapa dukun itu ditujukan).
Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan bacaan jampi serapah.
Menurut Dr. Seri Lanang Jaya et. al (2013:129), kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Mereka menganggap perkara-perkara atau benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Oleh itu wujudlah pemujaan atau penyembahan terhadap benda-benda seperti batu, pokok, sungai, gunung dan lain-lain. Hanya dukun dan pawang dikatakan mampu melakukan perkara ini. Tindakan ini dianggap berperanan untuk mengembalikan keadaan seperti asal.
Dukun atau bomoh juga dapat menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama yang liar dan bisa. Mereka tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut dengan jampi. Kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja seperti bomoh ular, gajah dan sebagainya. Di Melaka, terdapat orang yang begitu arif tentang gajah, bergelar Penghulu Gajah. Antaranya adalah Seri Wak Raja. Contoh petikan berkaitan dengan ini :

Sekalian orang pun melihat tahunya Seri Wak Raja; gajah penakut jadi beraninya.
                                                                                                                                                                                (Sulalatus Salatin : 209)


Ahli nujum pula biasanya akan meramal nasib seseorang menggunakan cara yang tertentu. Sebagai contohnya dapat dilihat dalam Hikayat Hang Tuah seperti berikut:

Maka segala ahlul nujum dan sasterawan pun melihat yang di dalam nujum. Setelah sudah dilihatnya, maka masing-masing pun menggerakkan kepalanya. Maka titah baginda, “Apa sebab kamu sekalian mengerakkan kepalamu?” Maka sembah segala ahlul nujum dan sasterawan itu, “ya Tuanku Syah Alam, patik mohonkan ampun beribu-ribu ampun dan kurnia ke bawah Duli Syah Alam; adapun patik anakanda ini terlalu amat bahagia beroleh suami anak raja besar,  dan anak cucu paduka anakanda inilah akan raja datang kepada akhir zaman, akan menjadi raja besar. Maka duli tuanku pun hendaklah segera memberi paduka anakanda bersuami, hendaklah paduka anakanda ini ditaruhkan pada suatu pulau yang bernama Biram Dewa itu dengan suatu mahligai dan dayang-dayang. Di sanalah paduka anakanda bersuami raja besar itu.”
                                                                                  (Hikayat Hang Tuah: 5)

Ilmu Jampi

Jampi menurut Kamus Dewan (2010), membawa makna kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Mana Sikana (1996) pula berpendapat bahawa jampi serapah tidak hanya sekadar penglahiran perasaan seperti puisi. Ia ada hubungannya dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi dikatakan sebagai sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutamanya pada perubatan. Pawang sebagai pembaca jampi adalah manusia yang luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantaraan makhluk dengan Khaliq atau supernatural.
Kedudukan pawang dalam hierarki kemasyarakatan adalah jelas. Jampi mantera yang diucapkan telah mendapat tempat yang istimewa. Jampi mempunyai unsur-unsur pemujaan, perubatan, kasih sayang, pendinding dan berhubung dengan psikologi manusia. Biasanya pawang, dukun, bomoh atau orang yang memakainya tidak begitu mudah memberikan jampi serapahnya kepada orang lain. Mereka bimbang jampi serapah yang diketahui itu tidak mujarab lagi, melainkan orang yang sudah menuntut dan orang lain tidak boleh menggunakannya. Jika digunakan juga dia akan menerima padahnya.
Satu hal yang menarik ialah jampi biasanya disampaikan dalam bahasa Banjar. Penjelasan tersebut jelas menunjukkan bahawa kepercayaan yang masih sebati terhadap kuasa ghaib seperti yang terdapat dalam jampi. Jampi-jampi dikatakan boleh diwarisi oleh orang tertentu. Menurut Mana Sikana (1996), jampi mempunyai tiga jenis, iaitu jampi menolak syaitan, jampi tawar biasa dan seterusnya ialah jampi pendinding. Jampi yang pertama dan ketiga ialah jampi jenis larangan, manakala jampi yang kedua ialah jampi jenis perubatan. Ilmu jampi atau ini dapat dilihat dalam teks Sulalatus Salatin pada bab 3 yang ada menyentuh tentang Badang beroleh gagah.

“Jikalau engkau hendakkan gagah, makanlah muntahku. Setelah itu oleh Badang dicubanya segala pohon kayu hampirnya yang besar-besar itu, dengan sekali bantunnya habis patah-patah”.                                                      

                                  ( Sulalatus Salatin: 39)


Ilmu Pengasih

Pengasih membawa makna ilmu pengasih, jampi, azimat, doa, guna-guna dan lain-lain untuk mendatangkan atau membangkitkan rasa kasih (Kamus Dewan, 2010). Ilmu pengasih ini adalah untuk mendapat pemujaan oleh seseorang yang jatuh hati kepada orang lain. Lazimnya, ilmu pengasih digunakan oleh seseorang kerana mungkin orang yang disukai itu tidak menyukainya atau orang itu terlalu jual mahal. Ilmu pengasih dibuat dalam berbagai jenis, kaedah serta nama. Contohnya minyak dagu, pengasih purnama, pengasih arjuna, pengasih jiwa dan banyak lagi. Ilmu pengasih boleh dilakukan dengan menggunakan minyak pengasih yang diperbuat daripada bahan tertentu, makanan dan minuman, minyak wangi, tenungan mata, hikmah suara, hikmah seri wajah dan sebagainya. Contoh ayat jampi pengasih dalam Sejarah Melayu ialah:

Hang Nadim menggunakan ubat guna-guna untuk memikat Tun Teja. Ubat guna-guna tersebut dalam bentuk lulut (bedak) itu ternyata berkesan. Setelah ia disapu kepada badan Tun Teja oleh si pelulut beliau dengan serta-merta menyukai Sultan Mahmud dan sanggup menjadi isteri baginda.
                                                                              (Sejarah Melayu:170)

      Hakikatnya, ilmu pengasih ini telah diamalkan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi.  Keadaan ini turut digambarkan dalam karya-karya warisan Melayu. Dalam Hikayat Hang Tuah pula turut diceritakan perihal Hang Tuah menggunakan ilmu pengasih bagi mendapatkan Tun Teja:

Maka Tun Tuah pun bermohonlah lalu pulang ke rumahnya. Maka Tun Tuah pun mandi dan berlangir. Maka Tun Tuah pun duduklah membuka pustakanya. Setelah sudah dilihat dalam pustakanya, maka Tun Tuah pun tersenyum, seraya dikucupinya puatakanya itu.
                                                                                
                                                              (Hikayat Hang Tuah: 216)

Namun, sebagai umat Islam kita wajib menjauhi perkara yang dilarang Allah SWT. Perkara yang bercanggah dengan al-Quran atau Sunnah dan turut dianggap sesat dan salah di sisi agama Islam. Walaupun negara semakin maju namun amalan ini sebenarnya masih ada pada hari ini. Yang penting, setiap manusia harus pandai menilai baik buruk sesuatu perkara.


              

No comments:

Post a Comment