Ketokohan merujuk kepada kekuatan dan keistimewaan
seseorang tokoh. Tokoh-tokoh yang dibincangkan dibahagikan kepada dua iaitu
tokoh karya klasik dan tokoh karya moden.
Tokoh karya klasik
Tun Seri Lanang
Tun Seri Lanang ialah penulis dan pengarang Sejarah
Melayu. Nama sebenar beliau ialah Tun Muhamad, bergelar Paduka Raja, seorang
yang berjawatan Bendahara. Tun Seri Lanang dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor
pada tahun 1565. Kedudukannya sebagai Bendahara Paduka Raja Johor antara tahun
1580 dan 1615. Ada tanda-tanda yang menunjukkan beliau mempunyai darah
keturunan Tun Perak, Bendahara Melaka yang sangat bijak dan membawa Melaka ke
persada dunia. Tun Seri Lanang sebenarnya bukanlah terkenal sebagai pengarang.
Belaiu lebih terkenal sebagai pemimpin. Namun, beliau mempunyai minat dalam
dunia kepengarangan. Titah raja dilakukannya dengan sempurna. Beliau
mendapatkan sebuah Hikayat Melayu di Goa, Sulawesi dan kemudiannya menyusun,
menambah dan memperbaiki bahagian-bahagian yang perlu. Kerja mengarang dimulai
pada bulan Februari 1614 sewaktu di Johor dan kemudia disambung di Aceh (Abdul
Rahman Napiah et al. 2013:34).
Sejarah
Melayu ditulis 103 tahun setelah Melaka ditakluk Portugis. Tambahan pula,
semasa menulis Sejarah Melayu, Tun Seri Lanang berada dalam tawanan Aceh.
Setelah teks itu sempurna dikerjakan, Tun Seri Lanang sedar bahawa isinya
adalah mengenani salasilah raja-raja Melaka. Teks diberi nama Sulalatus Salatin
yang beerti Salasilah Segala Raja-Raja. Kemudian diterjemahkan oleh golongan
moden menjadi Sejarah Melayu.
Sejarah
Melayu tergolong dalam genre sastera historiografi, iaitu karya yang bercorak
sejarah. Sastera sejarah ataupun disebut juga sebagai sastera historiografi
ialah sebuah genre sastera yang berkembang di zaman sastera klasik: Sastera
Islam. Sesuai dengan namanya, sastera historiografi ingin menggambarkan
pertumbuhan dan perkembangan kerajaan sesebuah negara atau negeri. Meskipun ia
belum membawa konsep sejarah seperti yang difahami hari ini, sastera sejarah
boleh dirujuk untuk mendapat gambaran kerajaan masa silam (Abdul Rahman Napiah et al. 2013:35).
Sejarah
Melayu berisi dengan sejarah Melaka daripada zaman pertumbuhannya, zaman
keemasan dan akhirnya keruntuhannya di tangan Portugis. Ia menjadi bahan
rujukan zaman-berzaman untuk mengkaji tamadun Melayu. Isi ceritanya yang
berbentuk sejarah itu mengandungi pelbagai catatan dan kisah seperti kisah
pembukaan negeri, aktiviti-aktiviti raja dan undang-undang bernegeri dan
berkerajaan. Sejarah Melayu juga mengandungi isi yang menceritakan asal-usul
raja, asal-usul nama tempat dan adat istiadat. Kita juga dapat temui gambaran
kehidupan dan budaya kerajaan Melaka atau budaya feudal. Ia turut membincangkan
budaya keagungan dan kebesaran bagi pemerintah bernegara.
Raja Ali Haji merupakan pengarang Tuhfat al-Nafis. Nama
sebenar beliau ialah Raja Ali Haji bin Raja Ahmad Haji. Beliau dilahirkan di
Penyengat, Riau dalam tahun 1809. Ayahnya seorang tokoh intelektual tradisional
Riau yang pernah melibatkan diri dalam perkembangan politik sekitar kepulauan
Johor-Riau. Ayahnya juga pernah menjadi utusan Sultan Riau kepada Gabenor
Belanda, Van Der Capellen di Jakarta. Masa perjalanan ulang-alik inilah Raja
Ali Haji mengikut ayahnya dan menimba pengalaman yang banyak, misalnya beliau dapat
menemui sarjana Barat seperti T.Rooda dan H.Von Der Waal.
Beliau telah
menunaikan haji dan belajar Bahasa Arab, pengetahuan agama serta ilmu sufi yang
amat berguna pada kerja kreasi sastera dan tugasnya kemudian, sebagai Perdana
Menteri kepada Raja Riau dan penasihat politik kepada Yang di Pertuan Muda
Riau. Atas kegigihannya, Penyengat terus berkembang dan menjadi pusat
kebudayaan Melayu dan Islam yang penting pada abad ke-19. Kedudukan Raja Ali
Haji sebagai pendidik ilmu tasawuf kepada orang-orang besar istana kerajaan
Riau dan juga kepada rakyat umum adalah satu keistimewaan kerana penulisannya
dipengaruhi oleh pandangannya selaku seorang pemerhati. Berdasarkan pembacaan,
pengalaman serta sejarah Raja Ali Haji, beliau mampu menghasilkan karya yang
kritis dan indah. Melalui Tuhfat al-Nafis, beliau menceritakan
peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan teliti. Perkara-perkara yang
diketahuinya, diceritakan sambil menghuraikan pandangannya secara terus terang.
Namun, kadang-kadang beliau juga meluahkannya dalam bentuk satira (Abdul Rahman
Napiah et al. 2013:36).
Tuhfat al-Nafis
mencungkil pengalaman pahit dan kehampaan orang Melayu kerana kehilangan hak
pemerintahan. Kehilangan kuasa Melayu berpunca daripada kejahilan raja Melayu
yang tidak nampak muslihat Bugis, malah sebaliknya meraikan Bugis sebagai
penyelamat yang mengembalikan kedaulatan mereka. Karya ini ditulis untuk
mengkritik peribadi raja Melayu yang lemah. Memang tujuan penulisan satira yang
ditunjukkan oleh Raja Ali Haji sebenarnya bukan bercerita tetapi lebih untuk
mengkritik. Raja Ali Haji dapat
menghuraikan psikologi budaya di samping memberi gambaran psikologi sosial
masyarakat yang ditulis olehnya. Tuhfat al-Nafis merupakan sebuah karya agung
bersifat sejarah yang telah dihasilkan oleh Raja Ali Haji pada tahun1865. Isi kandungan
karya ini mengisahkan peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di negeri-negeri
kepulauan Melayu terutamanya Melaka, Singapura dan Johor-Riau.
Raja Ali
Haji berpendidikan Arab, seorang pendakwah dan hidup dalam lingkungan istana di
Pulau Penyengat, Riau. Lantas, terserlahlah gaya bahasa Melayu klasik melalui
karyanya. Raja Ali Haji tidak menggalakkan penggunaan bahasa pasar kerana
beliau percaya penggunaan seperti ini akan menjejaskan dan merosakkan
kemurniaan bahasa Melayu. Teknik penulisan Raja Ali Haji juga masih jelas
terikat dengan teknik penulisan sastera tradisional Melayu yang mana kita
dapati bahawa jalan ceritanya sering terganggu. Sesuatu cerita itu
kadang-kadang tidak diakhiri dengan sempurna malah dimasukkan peristiwa lain
dalam cerita yang diceritakan itu. Namun, Raja Ali Haji telah membawa beberapa
pembaharuan yang bermanfaat melalui Tuhfat al-Nafis. Pembaharuan penting yang
telah beliau lakukan adalah mencatatkan tarikh pada peristiwa-peristiwa sejarah
yang diceritakannya. Catatan tarikh yang dilakukan oleh Raja Ali Haji memberi
pembaca suatu arah dimensi yang tepat, jelas dan konkrit.
Berhubung
Raja Ali Haji sebagai penulis karya sejarah, Mohd. Taib Osman menyifatkannya
sebagai...”the most critical of the Malay historians of old...” dan beliau
sedar apa yang ditulisnya adalah sejarah dan telah mengisi fungsi-fungsi
sejarah ketika itu, di mana sejarah yang difahami pada zamannya bukan setakat
mencatat peristiwa demi peristiwa, tetapi ada dituliskan tarikhnya yang tidak
diambil perhatian oleh orang lain sebelum Raja Ali Haji (Abdul Rahman Napiah et al. 2013:39).
Hamzah Fansuri ialah seorang penyair yang dikatakan lahir
di Barus atau Fansur pada penghujung abad ke-16 dalam wilayah kekuasaan Aceh. Negeri
asalnya juga dipertikaikan, sama ada “Syahru Nawi”, nama bandar Ayuthia, ibu
kota kerajaan Siam pada zaman dahulu atau nama lama tanah Aceh sempena nama
seorang pangeran Siam bernama Syahir Nuwi yang membangunkan Aceh sebelum
kedatangan Islam. Aceh pada zaman itu menjadi pusat ilmu pengetahuan Islam ada
abad ke-16. Ilmu tasawuf merupakan aliran agama yang amat terkenal pada masa
itu. Sewaktu pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Syah (1606/1607 –
1636 TM), banyak naskhah sastera yang tercipta dan antara tokoh yang dikenali
sehinggalah ke hari ini ialah Syeikh Hamzah Al-Fansuri atau dikenali juga
dengan nama Hamzah Fansuri (Abdul Rahman Napiah et al. 2013:39).
Syeikh
Hamzah Fansuri adalah seorang cendekiawan, ulama tasawuf, dan budayawan
terkemuka yang diperkirakan hidup antara pertengahan abad ke-16 sampai awal
abad ke-17. Nama gelar atau takhallus yang tercantum di
belakang nama kecilnya memperlihatkan bahawa pendekar puisi dan ilmu suluk ini
berasal dari Fansur, sebutan orang-orang Arab terhadap Barus, sekarang merupakan
sebuah kota kecil di pantai barat Sumatera yang terletak di antara kota Sibolga
dan Singkel. Sampai abad ke-16, kota ini merupakan pelabuhan dagang penting
yang dikunjungi para saudagar dan musafir dari negeri-negeri jauh (http://www.tintaguru.com/2013/04/hamzah-al-fansuri-biografi-karya-dan.html).
Ada dari
kalangan ulama sufi yang mengatakan bahawa Hamzah Fansuri merupakan seorang
penganut syi’ah yang sesat dan ada yang berpendapat bahawa beliau mengikut
mazhab Imam Syafie dalam bidang fikah dan mengamalkan tarekat Qadiriyah. Dari
berbagai sumber disebutkan juga bahawa Hamzah Fansuri telah belajar
berbagai ilmu yang memakan waktu lama. Selain belajar di Aceh, beliau
telah mengembara ke pelbagai tempat, antaranya ke Banten (Jawa Barat), bahkan
sumber yang lain ada menyebut bahawa beliau pernah mengembara ke seluruh tanah
Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, India, Parsi dan Arab. Dikatakan bahawa Hamzah Fansuri
sangat mahir dalam ilmu-ilmu fikah, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam,
sejarah, sastera dan lain-lain. Dalam bidang bahasa pula, beliau menguasai
dengan kemas seluruh sektor ilmu Arabiyah, fasih dalam ucapan bahasa itu,
berkebolehan berbahasa Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa.
Karya-karya
Hamzah Fansuri sentiasa mengandungi kritikan-kritikan tajam terhadap dunia
politik dan raja-raja sehinggakan beliau serta pengikutnya tidak disenangi oleh
kalangan istana. Disebabkan kebencian ini, nama belia tidak termaktub dalam
kitab penting sejarah Aceh iaitu Hikayat Aceh dan Bustanus-Salatin. Selain bidang
kesusasteraan, Hamzah Fansuri juga mempelopori bidang penulisan puisi falsafah
dan mistik bercorak Islam. Karya-karya beliau dalam aspek ini tidak dapat
ditandingi. Beliau juga orang pertama yang melahirkan kitab ilmiah bahasa
Melayu yang mempertingkatkan darjat bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa
intelektual dan penting dari aspek penyebaran ilmu dan persuratan (Abdul Rahman
Napiah et al. 2013:40).
Hamzah Fansuri terkenal sebagai pelopor puisi Islam yang
bersifat agama, tasawuf dan sufi. Ruba’i Hamzah Fansuri yang mengandungi 42
buah rangkap syair yang berisi ajaran Wahdatul Wujud. Syair-syair beliau yang
lain ialah:
a. Syair burung pingai
b. Syair dagang
c. Syair pungguk
d. Syair sidang faqir
e. Syair ikan tongkol
f. Syair perahu
Syair-syair Hamzah Fansuri merupakan syair Melayu yang
tertua, mempunyai sifat mistikal dan melambangkan perhubungan dengan Tuhan
dengan manusia. Karangan-karangan Syeikh Hamzah Fansuri yang berbentuk kitab
ilmiah antara lain :
a. Asfarul ‘arifin fi
bayaani ‘ilmis suluki wa tauhid
b. Syarbul ‘asyiqiin
c. Al-Muhtadi
d. Ruba’i Hamzah
al-Fansuri
Menurut
R.O Winstedt, syair-syair yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri secara
keseluruhannya menggunakan irama pantun walaupun urutannya mengikut irama
syair. Perkara ini tidak dinafikan kerana Hamzah Fansuri merupakan orang yang
pertama memperkenalkan rima akhir a-a-a-a dalam puisi empat baris sebagai
pengucapan sastera. Menurut C. Hooykas pula, kebanyakan syair Hamzah Fansuri
kerap menggunakan perkataan-perkataan Arab yang menyebabkan tidak ramai yang
membaca syair-syairnya. Beliau sebenarnya sengaja menggunakan perkataan Arab
secara kerap kerana beliau menulis untuk mengajak para pembaca karyanya untuk berfikir
ke arah membentuk budi pekerti dan sebagai seorang penyair agama dan bukannya
sekadar sebagai hiburan semata-mata (Abdul Rahman Napiah et al. 2013:41).
Hamzah Fansuri
sebagai sasterawan Islam diterima oleh kawan dan lawan. Syed Muhammad Naquib
Al-Attas (1968) menganggapnya sebagai sasterawan ulung Nusantara. R.O Winstedt
(1923) menyatakan beliau sebagai orang pertama menulis ilmu tasawuf dalam
bentuk sastera iaitu syair. Sebagai seorang pengarang, Hamzah Fansuri merupakan
seorang yang prolifik, rajin dan penuh dedikasi. Beliau hidup sebagai seorang
sufi dan kerja kepengarangannya dilakukan penuh sufistik (Abdul Rahman Napiah et al. 2013:42).
Tokoh karya moden
Keris Mas
Riwayat hidup
Kamaluddin Muhammad atau Keris Mas merupakan penerima
anugerah Sasterawan Negara Malaysia yang pertama ketika ia mula diadakan pada
tahun 1981. Beliau dilahirkan pada 10 Jun 1922 di Kampung Ketari, Bentong, Pahang.
Keris Mas ialah penulis karya agung untuk genre cerpen. Sebagai penulis cerpen,
beliau mempunyai latar yang cukup, pendidikan awalnya ialah sekolah Melayu
sehingga darjah lima. Kemudian beliau menyambung pengajiannya ke Sumatera untuk
melanjutkan pelajaran menengah di Tawalib
School dan di Kolej Kulliatul
Muallimin al-Islamiah, sebuah Kolej Perguruan Islam sehingga memperoleh
Diploma Perguruan. Beliau juga mengikuti kursus London Matriculation sehinggalah meletusnya Perang Dunia Kedua. Ketika
zaman mudanya, Keris Mas pernah berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan Parti
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) Cawangan Pahang.
Karya dan sumbangan
Sepanjang
hayatnya, beliau telah menghasilkan Kumpulan
Cerpen Sasterawan Negara Keris Mas 1946-1989 yang memuatkan 76 buah cerpen,
satu bilangan yang cukup besar untuk zamannya. Mengarang sememangnya menjadi
pilihan hidupnya. Keris Mas tidak menjadi pengarang kerana tiada kerjaya lain
atau diminta oleh orang lain untuk menjadi pengarang. Beliau sedar pilihannya
dan sedar juga genre yang ditulisnya. Dorongan berkarya datang daripada dirinya
sendiri. Beliau memilih kerja pengarang kerana ia sesuai dengan dirinya dan
perjuangan hidupnya (Mana Sikana, 2013).
Perjalanan
karier Keris Mas sebagai sasterawan dapat didasarkan pada empat anjakan
kepengarangan. Pertama, peringkat kehadiran diri, iaitu antara 1946 hingga
1950. Dalam era ini banyak cerita berputar sekitar soal cinta yang menunjukkan
tendensi zaman yang romantis. Zaman permulaan
ini adalah dalam proses pencarian subjek dan diri. Kedua, peringkat pelanggaran
dan pengukuhan antara 1950 hingga 1957, iaitu dalam konteks membina kekhasan
diri. Ini memperlihatkan zaman prolifik dengan pembaharuan dan kematangannya. Baik
daripada aspek tekstualiti mahupun kontekstualitinya. Peringkat ini menyaksikan
Keris Mas sebagai cerpenis.
Ketiga,
zaman pascamerdeka. Keris Mas mula kurang berkarya, tetapi ia sudah mempunyai
sifat kepengarangan yang idealistik dan memiliki individualisme. Karya-karya
yang dihasilkan mantap dan kuat. Pada tika ini, beliau banyak terlibat dalam
pengurusan seperti urusan Dewan Bahasa dan Pustaka dan mengurus beberapa hadiah
sastera tanah air. Keempat, peringkat selepas persaraan. Keris Mas pernah
bertugas sebagai Karyawan Tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau telah
menghasilkan beberapa karya dan salah sebuah daripadanya Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, diterima sebagai novel besar. Novel
lainnya ialah Rimba Harapan (Abdul
Rahman Napiah et al. 2013:44).
Antara cerpen yang dihasilkan oleh Keris Mas:
• Cerpen ‘Wasiat Orang Bangsawan’
• Cerpen ‘Bukan
Kerana Dia’
• Cerpen ‘Banyak
Anak’
• Cerpen ‘Bilik
Belakang’
• Cerpen ‘Keras Hati’
Antara novel yang dihasilkan:
• Novel ‘Pahlawan
Rimba Malaya’
• Novel ‘Korban
Kesuciannya’
• Novel ‘Anak
Titiwangsa’
• Novel ‘Saudagar
Besar Dari Kuala Lumpur’
• Novel ‘Rimba
Harapan’
Keris Mas memilih cerpen
sebagai genre pertamanya. Meski beliau juga menulis sajak pada zaman awalnya,
tetapu keinginannya untuk menyampaikan cerita yang bermanfaat menyebabkan
minatnya terhadap genre ini lebih tinggi dan sesuai dengan zamannya.
Usman Awang
Usman Awang yang yang dikenali dengan nama penanya
Tongkat Warrant, dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala
Sedili, Kota Tinggi, Johor. Usman Awang mendapat pendidikan awal di Sedili,
Mersing dan Muar. Beliau pernah bekerja sebagai petani dan buruh paksa di
Singapura. Hal ini dapat membuktikan bahawa beliau seorang yang cekal dan tabah
dalam menghadapi cabaran hidup. Setelah pulang dari Singapura, beliau bekerja
sebagai budak pejabat dan menyertai pasukan polis Jepun. Pada tahun 1946,
beliau menjadi anggota polis dan ditugaskan di Melaka. Setelah berhenti menjadi
polis, beliau berpindah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca pruf, wartawan
dan sidang pengarang Mingguan Melayu.
Pada tahun 1952, Usman Awang bekerja di Utusan Melayu sebagai pengarang Utusan Zaman dan Mastika (Mohd. Yusof Hasan dan Siti Khariah Mohd. Zubir, 2013:107).
Usman
Awang pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1963 hingga 1983.
Beliau bertugas sebagai sidang pengarang dan pengarang majalah-majalah Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan
Sastera dan Dewan Budaya. Beliau
juga pernah bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Kanan dan Ketua Bahagian
Perkembangan dan Pembinaan Sastera. Usman Awang seorang yang berjiwa sastera.
Sebagai tokoh bahasa dan kesusasteraan, Usman Awang diberi penghormatan sebagai
Pejuang Sastera pada tahun 1976, S.E.A Write Award pada tahun 1982, penerima
Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Malaya dan Anugerah Sasterwan
Negara yang ke-3 pada tahun 1983, anugerah darjah kebesaran “Dato” kerajaan
Perak pada tahun 1991 dan Anugerah Seniman Agung pada tahun 1999. Beliau
meningga dunia pada 29 November 2001 di Kuala Lumpur (Mohd. Yusof Hasan dan
Siti Khariah Mohd. Zubir, 2013:108).
Karya dan sumbangan
Selain bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, Usman Awang
juga bergiat aktif dalam menghasilkan karya dalam genre novel, cerpen, sajak
dan drama. Novelnya adalah seperti Tulang-Tulang
Berselerakan (1966), cerpennya terdapat dalam Antologi Degup Jantung (1963), Koleksi
Terpilih Usman Awang (1995), Tongkat
Warrant Seniman Agung- Ini Saya Punya Kerja (1999) dan antologi bersama
seperti Cerita-Cerita Pendek DBP
(1958), Mekar dan Segar (1960), Dua Zaman Antologi Cerpen Pilihan 1947-1962
(1965), Dongeng Merdeka (1985), Cerpen Malaysia Selepas Perang Dunia Kedua
(1988) dan Suatu Subuh Yang Bening.
Usman
Awang juga giat menghasilkan sajak yang dimuatkan dalam antologi persendirian
seperti Gelombang (1961), Duri dan Api (1967), Kaki Langit (1971), Salam Benua (1982), Puisi-Puisi
Pilihan Sasterwan Negara (1987), Koleksi
Terpilih Usman Awang (1995) dan Pilihan
Puisi Usman Awang (1995). Sajak-sajak beliau juga dimuatkan dalam antologi
bersama seperti Bintang Mengerdip (1984),
100 Sajak Malaysia (1984), Suara Kemanusiaan (1994) dan Kuntum Pertiwi Buku 1 (1995). Dalam
bidang penulisan, sajak-sajak Usman segar dengan rasa kemanusiaan, romantis dan
akrab dengan akar budi Melayu. Beliau antara penyair Melayu yang mengekalkan
ciri-ciri pantun dalam sebahagian sajaknya, walaupun telah melonggarkan
beberapa ikatan konvensional. Sajak-sajak Usman Awang gemar dideklamasikan oleh
peminat seni dan pelajar sekolah. Antaranya sajaknya yang cukup popular
termasuklah Bunga Popi, Gadis di Kuburan,
Pak Utih, Ke Makam Bonda, Nasib Buruh dan Salam Benua (Halilah Haji Khalid,
2004: 16).
Selain menghasilkan sajak,
cerpen dan novel, beliau turut menghasilkan drama. Kumpulan drama persendirian
Usman ialah Tamu di Bukit Kenny dan Tiga Lakonan Sebabak (1968), Tirai Zaman (1969), Di Bawah Matahari (1969), Uda
dan Dara (1976), Drama-Drama Pilihan
Sasterawan Negara (1988), Matinya
Seorang Pahlawan (1992) dan Koleksi
Terpilih Usman Awang (1995) (Mohd. Yusof Hasan dan Siti Khariah Mohd.
Zubir, 2013:108). Usman Awang bukan sahaja bergiat aktif dalam bidang
penulisan, beliau juga aktif dalam aktiviti dan organisasi penulis. Beliau
merupakan salah seorang pengasas Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM),
Setiausaha Asas 50 di Singapura dan Ketua PENA yang pertama (1962-1965).
Usman Awang
juga antara penulis yang mengambil inisiatif mengadakan Hari Puisi, Cempaka
Berbunga, Malam Gema Puisi dan Genta Rasa di Panggung Anniversary, Manifestasi
Dua Seni dan banyak lagi. Usman Awang pernah diundang melawat ke luar negara
atas namanya sebagai penyair dan dramatis terkenal. Kegiatan Usman dalam
penulisan dan sumbangannya yang besar kepada pengembangan kesusasteraan Melayu
telah diberikan penghargaan oleh Kerajaan Malaysia. Antaranya Usman dilantik
sebagai salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera dan pada 29 Mei 1976,
beliau dianugerahi gelaran Pejuang Sastera (Halilah Haji Khalid, 2004: 17).
Rujukan:
Abdul Rahman Napiah, Lanang Jaya Hj. Rohani, Hj. Mohd.
Rashid Idris dan Hj. Naffi Mat
(2013). Penghayatan
karya agung Melayu (KBR 3063). Pusat Pendidikan Luar.
Halilah Haji Khalid (2004). Usman
Awang dalam esei dan kritikan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Mana Sikana (2013). Dari Barat ke
Timur: Teori dan kritikan sastera. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Yusof Hasan dan Siti Khariah Mohd. Zubir (2013). Ikon kesusasteraan 11 pemikiran
global sasterawan negara Malaysia. Tanjong
Malim: Penerbit UPSI.
Yusuf Amin Nugroho. Diperoleh pada Mac 28, 2014 daripada http://www.tintaguru.com/2013/04/
No comments:
Post a Comment