ULASAN KARYA AGUNG
(HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA)
ISU YANG DIBANGKITKAN OLEH PENGARANG
Hikayat
Merong Mahawangsa merupakan
salah satu karya agung yang meninggalkan kesan dan impak yang mendalam sehinggalah
ke hari ini. Hikayat ini banyak menceritakan tentang sejarah perkaitan antara negeri
Kedah dengan Siam. Pemerintahan oleh negeri Kedah kepada Siam apabila Raja Seri
Mahawangsa (Raja Kedah yang ketiga) mendapat berita kekanda sulungnya Raja Siam
mendapat putera. Maka dengan itu, terus Raja Kedah memerintahkan supaya tradisi
menghantar bunga emas itu diteruskan hingga ke akhir zaman setiap kali mendapat
putera.
BICARA
KARYA AGUNG
Sebelum
kedatangan Islam, agama Hindu atau Buddha telah lama bertapak di dalam
kehidupan masyarakat di Kepulauan Melayu. Kedatangan Islam dikatakan telah memantapkan
keseluruhan pandangan Semesta Melayu. Kedatangan Islam telah memberi impak yang
besar dalam kehidupan masyarakat Melayu termasuklah dari segi budaya, amalan
dan kepercayaan.
Nilai-nilai
yang menjadi asas kepada tamadun Melayu adalah berteraskan kepada nilai-nilai
agama Islam. Kesemua nilai tersebut berkait rapat dengan konsep iman yang
terdapat dalam agama Islam. Nilai asas ini boleh dilihat dalam
ungkapan-ungkapan Melayu seperti peribahasa, perumpamaan dan pepatah-pepatih.
1. Kepercayaan
kepada Allah S.W.T
Kepercayaan
kepada pencipta yang menciptakan seluruh alam semesta dan makhluk-makhluknya
merupakan satu perkara yang wajib diketahui akan wujudnya pencipta di sebalik semua
kejadian di dunia ini.
Maka sabda
Nabi Allah Sulaiman, “Hai segala-gala raja-raja…dalam empat perkara ini
hendaklah jangan sekali-kali ditentukan, jikalau tiada dengan dengan janji
daripada Tuhan alam. Pertama rezeki, …keempat, perkara perceraian yang sudah
sampai waktu, saat harinya, tiada akan dapat hendak menantikan esok harinya,
tiadalah boleh, melainkan dengan sekaliannya itu pun dengan janji-Nya jua.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 23)
Pada mulanya,
burung garuda ingin menghalang rombongan untuk menyatukan puteri raja Benua
China dengan anak raja Rom. Maka burung garuda pun menyerang bahtera yang
membawa anak raja Rom sehingga hancur. Walaupun pelbagai dugaan yang menimpa
anak raja Rom, namun akhirnya mereka dapat disatukan jua. Nabi Allah Sulaiman
menasihati para pengikutnya berkenaan empat perkara dalam Islam yang tidak
dapat diubah kerana telah ditentukan oleh Allah S.W.T. iaitu rezeki, perkara
yang memutuskan rezeki, jodoh dan pertemuan dan perceraian yakni kematian.
2. Ketaatan kepada raja dan pemimpin.
Menghormati
raja dan pemimpin merupakan perilaku atau perkara yang sudah diamalkan sejak
dahulu lagi sehinggalah sekarang. Sehinggakan, sesiapa yang ingkar akan
perintah raja akan dikenakan tulah iaitu kehidupan mereka akan sengsara atau
mendapat nasib yang buruk.
Maka sembah
Raja Merong Mahawangsa, “ Baiklah, tuanku, barang yang dititahkan itu patik
kerjakan, tuanku.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 7)
Raja Merong
Mahawangsa telah menerima tugas yang diberikan oleh Raja Rom dengan senang hati.
Arahan yang diberikan oleh Raja Rom agar Raja Merong Mahawangsa pergi ke Benua
China untuk menggantikannya dan menyampaikan hasratnya untuk mengahwinankan
anakandanya dengan puteri raja Benua China. Hal ini menunjukkan bahawa, sikap
Raja Merong Mahawangsa yang menerima tugas yang diberikan membuktikan bahawa
beliau merupakan seorang yang taat kepada raja dan pemimpin.
Menghormati ibu bapa
dituntut dalam Islam kerana kedudukan, martabat dan kemuliaan ibu bapa sangat
istimewa serta tinggi sekali sehinggakan ibu bapa adalah yang kedua perlu
dihormati selepas yang Maha Pencipta. Raja Merong Mahapudisat digambarkan
sebagai seorang yang taat kepada perintah ayahnya, Raja Merong Mahawangsa untuk
menempatkan anak-anaknya di beberapa buah tempat supaya dapat mendirikan
kerajaan baru. Perkara ini dapat dilihat pada halaman 37.
Setelah didengar oleh Raja Merong Mahapudisat sembah menteri itu, lalu
ia bertitah kepada menterinya, “Jikalau demikian hendaklah saudara kerahkan
segala kaum gergasi himpun sekaliannya dan panggil … , kita beri ia pergi
bersama-sama anak kita…
(Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 37)
Raja Merong Mahapudisat segera menitahkan pembesarnya untuk menyediakan
keperluan serta askar pengiring untuk anakandanya berhijrah ke tempat lain bagi
membuka penempatan baru. Raja Merong Mahapudisat dilihat sebagai seorang yang
sangat taat kepada perintah ayahandanya. Beliau segera melakukan suruhan
ayahandanya setelah diingatkan oleh pembesarnya.
3. Berpegang teguh kepada adat
resam
Masyarakat
Melayu berpegang teguh kepada adat tradisi seperti dilihat dalam amalan hidup
seharian. Orang Melayu amat menjaga adat resam termasuklah pantang-larang dan
adat istiadat yang diwarisi dan diamalkan sejak turun-temurun.
setelah
sudah dibaca surat itu lalu sama duduk sekaliannya itu berjabat tangan. Maka
raja China pun menyorong puannya sirih persantapan pada Raja Jin Harman Syah,
katanya, “Makanlah sirih hai saudaraku Raja Harman Syah,”serta menyuruh keluar
ia itu.
(Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 26)
Sirih dan
pinang berperanan penting dalam upacara, adat resam dan budaya semasa,
masyarakat Melayu etika itu. Dalam petikan di atas adat makan sirih
digunakan ketika menyambut tetamu.
4. Memuliakan orang yang lebih tua
Memuliakan orang yang lebih tua merupakan
satu perkara yang wajib diamalkan untuk melahirkan masyarakat yang saling
hormat-menghormati antara satu sama lain. Hal ini dapat dilihat dalam Hikayat
Merong Mahawangsa.
Maka sahut anak raja Rom itu dengan perlahan-lahan, “ Hai ibuku, bahawa
dengan sesungguhnya beta ini manusia juga. Betalah anak raja Rom, hendak pergi
kahwin dengan puteri anak raja Benua China dengan beberapa buah bahtera…
(Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 16)
(Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 16)
Walaupun anak raja Rom dalam keadaan sakit setelah bahteranya di
musnahkan oleh burung garuda, beliau masih lagi mampu mengucapkan kata-kata
yang bersopan kepada Mak Inang. Malahan
beliau membahasakan ibu kepada Mak Inang.
5. Bertimbang
rasa
Orang Melayu
sentiasa mengutamakan perasaan orang lain dalam pelbagai keadaan walaupun diri
sendiri terpaksa disakiti.
Maka mak inang tuan puteri itu pun terlalulah belas kasihan
hatinya mendengarkan hal anak raja Rom itu lalu ia pun kembali pada tuan puteri
persembahkan hal itu sekalianya dengan suka tertawanya.
(Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 17)
Kesimpulannya, dalam Hikayat Merong
Mahawangsa yang telah dikaji dan diperkenalkan oleh Siti Hawa Haji Salleh ini
banyak mempunyai nilai melayu yang tersembunyi. Malahan, setiap penulisan
sejarah tradisional Melayu, mereka kebanyakkannya hendak menggambarkan
cara hidup dan pemikiran masyarakat yang melahirkannya dengan jelas. Dalam
Hikayat Merong Mahawangsa ini, banyak memperkatakan tentang nilai melayu yang
tinggi yang ingin disampaikan kepada pembaca agar pembaca dapat mencontohi
nilai tersebut.
ASPEK KEBAHASAAN
Hikayat
Merong Mahawangsa dikategorikan dalam prosa berbentuk cerita atau
sejarah. Setelah Raja Mahawangsa masuk Islam, pengaruh agama Islam menjadi
lebih besar lagi menyelinap ke segenap kehidupan kehidupan rakyat Kedah. Maka
tidak hairanlah jika penulisan manuskrip yang digunakan pada abad itu
menggunakan aksara Arab-Melayu.
Selain aksara Arab-Melayu, beberapa
istilah yang digunakan dalam manuskrip juga memakai nama yang memuatkan
simbol-simbol Islam. Penggunaan kata sultan untuk sebutan raja juga merupakan
pengaruh dari bahasa Arab. Hikayat ini juga masih banyak pengaruh bahasa Arab
dalam manuskrip ini. Beberapa teks Arab tampak berhampuran dalam setiap teks
kalimat-kalimatnya. Ada istilah 'alim' dalam
bahasa Melayu bererti orang berilmu. Selain itu terdapat juga istilah seperti fakir, hadzir dan banyak lagi.
Aksara Arab |
Antara contoh aksara arab dalam
Hikayat Merong Mahawangsa ialah :
Syahadan memohonkan taufik-lah ka-hadzeret Tuhan…
sumber: Hikayat Merong Mahawangsa
( Halaman 2)
Analisis dalam karya agung
Hikayat Merong Mahawangsa adalah berkaitan dengan kajian pengarang
tersebut yang menyatakan bahawa hikayat ini dapat dikaitkan persamaan di
antara mitos dan realiti.
SINOPSIS
Angkatan Raja Merong Mahawangsa yang sedang belayar
dari Rom ke negeri China telah diserang oleh garuda. Ia membuka negeri
Langkasuka dan diangkat menjadi raja. Ia pulang ke Rom setelah menabalkan
puteranya Raja Merong Mahapudisat menjadi raja. Langkasuka ditukar namanya ke
Kedah Zamin Turan.
Berpandukan nasihat yang diberikan oleh
ayahandanya, Raja Merong Mahapudisat merajakan putera sulungnya menjadi Raja Siam,
putera tengah sebagai Raja Perak dan anakandanya yang ketiga, seorang puteri,
sebagai Raja Patani. Putera yang bongsu menggantikan ayahanda mereka sebagai
Raja Kedah dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa. Raja inilah yang memulakan
tradisi menghantar persembahan bunga mas dan bunga perak sebagai hadiah kepada
kekandanya, Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat putera.
Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah kecewa dengan
puteranya yang tidak menurut perintah dan digantikan oleh putera itu dengan
gelaran Raja Seri Maha Inderawangsa. Seterusnya putera Raja Seri Maha
Inderawangsa menjadi raja dengan gelaran Raja Ong Maha Perita Deria yang lebih
terkenal dalam sejarah negeri Kedah sebagai Raja Bersiong. Apabila Raja
Bersiong turun dari takhta setelah ditentang kerana kezalimannya, puteranya
ditabalkan sebagai Raja Phra Ong Mahapudisat. Raja ini digantikan oleh
puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa yang kemudiannya menjadi raja Kedah yang
pertama memeluk agama Islam. Syeikh Abdullah Yamani menukarkan namanya kepaga
Sultan Muzaffar Syah.
ANTARA MITOS DAN REALITI
Untuk menimbulkan kekaguman masyarakat dan
mengekalkan ketinggian martabat raja-raja Kedah, pengarang merendahkan lagi
penceritaannya dengan memasukkan peranan yang dimainkan oleh gajah sakti Gemala
Johari. Mitos binatang sakti tidak ketinggalan dalam karya-karya historiografi
Melayu yang lain. Adanya Gemala Johari di sini adalah sesuatu yang diharapkan.
Masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh manusia dengan mudah diatasi oleh
gajah sakti. Gemala Johari masuk ke hutan dan membawa ke istana putera Raja
Bersiong dengan isterinya anak orang berhuma di hujung negeri. Sengaja peranan
Siam dalam menentukan siapa pengganti raja itu diperkecilkan dengan memulangkan
segala-galanya kepada Gemala Johari.
Supaya kedaulatan raja dan keturunannya dapat
dipertahankan pengarang mengambil masa untuk menerangkan asal usul keluarga
yang berhuma itu. Isteri Raja Bersiong bukanlah sembarangan orangnya tetapi
berasal daripada biaperi.
Jelas pengarang memikirkan terlebih dahulu semasak-masaknya
dan merancang dengan teliti pengolahan fakta dan teknik penulisannya. Bukan
sahaja beliau harus membentangkan fakta sejarah tetapi juga mengadunkannya
dengan cara yang terbaik supaya kedudukan raja tidak terjejas. Unsur-unsur
mitoslah yang membantunya memenuhi tugas ini. Segala alasan yang dikemukakan
tidak lagi dipersoalkan kerana kebanyakan unsur mitos itu sudahpun sebati dalam
pemikiran masyarakatnya. Atas dasar 'percaya' dengan mudah dan berkesan,
sesuatu yang hanya ada di dalam pemikiran pengarang lahir menjadi realiti.
Jika dinilai semula huraian pengarang tentang
penghantaran bunga emas ke Siam, kita akan dapati bahawa penafiannya adalah
sesuatu yang biasa. Negeri-negeri Melayu lain yang pernah terlibat dengan Siam
enggan mengaku bahawa penghantaran bunga emas itu adalah bukti tertunduknya
mereka ke bawah kuasa Siam. Bagi mereka kiriman itu dibuat sebagai suatu usaha
diplomasi mententeramkan kerajaan Siam dan menghalangnya daripada menyerang
negeri-negeri Melayu itu.
Walaupun pada mulanya Hikayat Merong Mahawangsa
menyatakan bahawa putera-putera dan puteri raja Kedah yang membuka
negeri-negeri Siam, Perak dan Petani, hanya Siam sahaja yang diulang sebut oleh
pengarang. Tidak ada lagi rujukan dibuat berhubung dengan Perak dan tentang
Petani pula hanya disebut sekali.
Hal ini membayangkan keadaan yang sebenarnya di
mana dalam realiti sememangnya ada perhubungan yang erat antara Kedah dengan
Siam. Walau bagaimana sekalipun diusahakan oleh pengarang menyembunyikan fakta
itu, ia muncul sebagai sesuatu yang benar.
Kemudian pengarang menceritakan tentang Kelana
Hitam yang menjadi raja di Pulau Air Tawar ingin menaiki takhta kerajaan negeri
Kedah apabila didengarnya Kedah tidak beraja selepas hilangnya Raja Bersiung.
Pengarang menyatakan secara kebetulan angkatan Kelana Hitam telah bertembung
dengan angkatan Kelahum dari Siam. Kelahum telah ditugaskan menabalkan
pengganti Raja Bersiung setelah orangnya ditemui.
Nyata Kelana Hitam tidak sempat mencapai
cita-citanya kerana dihalang oleh Kelahum. Pertempuran berlaku dan Kelana Hitam
ditawan. Peperangan ini telah digambarkan dengan teliti dan terperinci oleh
pengarang. Beliau menggunakan klise-klise yang terdapat dalam karya-karya
kesusasteraan Melayu klasik apabila menggambarkan sesuatu keadaan. Kekuatan dan
kegagahan panglima-panglima diceritakan satu persatu. Tidak terdapat karya
historiografi lain yang melukiskan gambaran peperangan yang sebegitu jelas dan
menarik. Selain dari lukisan suasana pengarang juga memperlihatkan
pengetahuannya tentang teknik peperangan orang zaman dahulu dan cara-cara
mengatur perang.
Kisah peperangan ini memperlihatkan beberapa
persamaan dengan kisah peperangan dalam Hikayat Seri Rama yang disadur dari
Ramayana. Tetapi jika dibandingkan dengan lebih teliti, gambaran peperangan
dalam Hikayat Merong Mahawangsa lebih realistik dan berpijak dibumi yang nyata.
Kemenangan dicapai lebih kerana ketajaman akal dan kepintaran ilmu perang dan
kepahlawanan manusia biasa dan bukan sebab kesaktian dan kedewaan.
Persamaan yang terdapat dalam bahagian ini dengan
apa yang ditemui dalam Hikayat Seri Rama adalah kerana kedua-dua hikayat ini
hasil kesusasteraan lama. Pengarang tidak dapat lari menggunakan susunan kata
dan struktur kalimat yang sama dengan yang terdapat dalam karya-karya lain yang
sezaman dengannya. Persamaan yang terdapat dianggap tidak merendahkan mutu
karya tersebut malah mendekatkan lagi dengan karya-karya sezaman dan
membolehkan ia dimasukkan ke dalam golongan yang sama.
Kerana pertimbangan yang berlainan ramai sarjana
barat keberatan memberi Hikayat Merong Mahawangsa penilaian yang saksama dan
terus menganggapnya sebuah karya yang kurang bermutu. Winstedt secara mudah
mengenepikan hikayat ini tanpa mempertimbangkan nilai-nilai masyarakat yang
menghasilkan karya ini.
Di samping itu dapat dibuat kesimpulan bahawa
kemunculan Kelana Hitam adalah disengajakan oleh pengarang untuk menerangkan
lebih jelas perhubungan yang erat antara Kedah dan Siam. Pengarang juga
menggunakan kesempatan itu untuk menguatkan hujah bahawa hanya raja yang
berasal dari keturunan Merong Mahawangsa sahaja yang layak menaiki takhta
kerajaan Kedah.
Naungan Siam ke atas Kedah diteruskan gambarannya
dengan menyebutkan bahawa Kelahum meneruskan perjalanannya ke Kedah. Setelah
menemui tempat yang baik di Sala, Kelahum membina kota di situ dan
memerintahkan orang-orangnya pergi mengadap menteri keempat dan menjemput raja
yang baru datang bermain ke Sala. Di Salalah raja Kedah yang baru ditabalkan
dengan nama Raja Phra Ong Mahaputisat. Kelahum telah melaksanakan tugasnya
sebagai wakil Raja Siam untuk mengiktirafkan raja itu. Secara tersembunyi
pengarang membuat implikasi bahawa pengiktirafan itu tidak membawa apa-apa
kesan kerana sewaktu Kelahum sampai, raja itu sudah lama bersemayam di Kota
Aur. Dan berangkatnya ke Sala adalah lebih untuk bersuka-suka memburu binatang
dan menangkap ikan.
Apabila Kelahum berangkat pulang ke Siam, Raja Phra
Ong Mahaputisat mengirimkan hadiah bunga emas dan bunga perak kepada Raja Siam.
Selepas itu dikatakan Kedah dan Siam tidak berputusan menghantar utusan
tiap-tiap tahun tanda berkasih. Pengarang tetap mempertahankan bahawa
perhubungan itu adalah antara dua negara Staraf. Begitulah caranya pengarang
menjaga maruah rajanya tanpa menyingkirkan fakta sejarah sebenarnya.
Berbeza dengan kebanyakan karya historiogfari
Melayu yang lain, Hikayat Merong Mahawangsa tidak menghadkan unsur mitos
dikemukakan hanya dibahagian awal cerita. Pengarang memasukkan unsur mitos di
mana-mana sahaja asalkan dapat digunakan untuk sesuatu tujuan, terutama sekali
untuk menambahkan takjub rakyat terhadap rajanya. Dalam hal ini Hikayat Merong
Mahawangsa agak selari dengan Hikayat Banjar.
Kerana itu di pertengahan ceritapun tiba-tiba
pembaca bertemu dengan kelahiran Raja Buluh Betung dari ruas buluh yang dibawa
pulang oleh Raja Phra Ong Mahaputisat dari berburu. Di dalam Hikayat Raja-Raja
Pasai dan Hikayat Acheh, unsur mitos seperti ini hanya terdapat di bahagian
awal cerita. Seharusnya semakin dekat pengarang dengan zaman yang lebih
terkemudian, unsur mitos ditinggalkan dan diganti dengan fakta-fakta yang
bersifat kenyataan.
Pengarang ini telah menggunakan kebebasannya untuk
melanggar kebiasaan ini. Jelas kepadanya unsur mitos dan realiti. Kemungkinan
lain ialah pengarang menemui kesempatan di sini untuk memasukkan mitos ini
kerana tidak sesuai di bahagian lain. Beliau mesti memasukkan mitos ini kerana
di dalam penulisan-penulisan lain mitos ini tidak ditinggalkan.
Kelahiran Raja Buluh Betung diseimbangkan dengan
penemuan Puteri Seluang di tengah-tengah buih putih yang mengalir di Sungai
Kuala Muda. Puteri Seluang bukanlah sesuatu yang asing dalam karya-karya
historiografi Melayu kerana terdapat rakan-rakan sejenisnya dalam Sejarah
Melayu, Hikayat Banjar, Cerita Sukadana dan Sulsilah Kutai, masing-masing dengan
nama Puteri Tanjung Buih dan Puteri Junjung Buih dan sebagainya.
Di dalam Hikayat Merong Mahawangsa wajar Raja Buluh
Betung dikahwinkan dengan Puteri Seluang kerana sama-sama berunsur mitos. Dan
kewujudan mereka bertentangan dengan realiti. Kedua-duanya tidak dibenarkan
berkembang wataknya. Keturunan mereka tidak mungkin dapat menduduki taktha
kerajaan kerana asal usulnya. Nyata disini terdapat semacam pertentangan antara
unsur mitos dan realiti. Karya ini merupakan suatu penulisan sejarah, unsur
realiti dipertahankan.
Begitu kecil peranan mitos ini sehingga apabila
Raja Phra Ong Mahawangsa, saudaranya memeluk agama Islam, Raja Buluh Betung
sengaja tidak disebut. Raja Buluh Betung ketika itu ditugaskan membina kota
baru di Padang Terap. Pengarang menyingkirkan watak mitos ini dari dunia yang
bersifat realiti dengan menceritakan bahawa Raja Buluh Betung membawa diri
setelah mendengar isterinya Puteri Seluang berbuat jahat dengan salah seorang
pembesar dalam semasa peningggalannya.
Sama seperti beberapa watak dalam Hikayat Banjar
yang hilang jasadnya sesudah mati, Raja Buluh Betung juga dikatakan bertukar
kembali manjadi buluh setelah menghembuskan nafas yang terakhir. Sebelum
mangkat Raja Buluh Betung memperlihatkan kepahlawanannya berperang dengan
angkatan Datuk Sungkai yang datang menyerang Kota Palas. Puteri Seluang pula
tidak lagi disebutkan selepas melahirkan Megat Zainal.
Kerana kisah Raja Buluh Betung dikemukakan dalam
peringkat yang sudah lewat dalam hikayat ini, ia sengaja diasingkan dari istana
besar di Kuala Muda. Kemangkatannya tidak menimbulkan apa-apa persoalan.
Pengarang telah cuba menggambarkan realiti watak ini dengan menghidupkan unsur
kepahlawannya. Unsur realitinya juga dilahirkan menerusi reaksi Sultan Muzafar
Syah ketika menerima berita kemangkatannya. Pengarang menulis :
"......maka tiada berkata-kata lagi, tunduk,
tengadah, menahankan air mata, kenangkan saudara Raja Buluh Betung
itu......"
Seterusnya pengarang menegakkan lagi mitos tentang
Raja Buluh Betung ini dengan mengemukakan sesuatu yang bersifat realiti.
Menteri Lela Putera telah memohon supaya Sultan Muzafar Syah menghantar salah
seoarang puteranya ke Kota Palas untuk menggantikan Raja Buluh Betung. Sultan
telah memenuhi permintaan itu dengan merajakan Raja Muazzan, Raja Mahmud dirajakan
di Kota Hulu Padang Terap dan Raja Sulaiman dihantar ke Langkapuri. Dengan ini
juga pengarang menguatkan pengakuan tentang adanya kota-kota yang dibina oleh
Raja Buluh Betung semasa hayatnya pada hal Raja Buluh Betung itu adalah watak
mitos. Mungkin juga dalam kisah ini Langkapuri ialah Langkawi.
Di dalam karya-karya historiografi Melayu lain,
batasan antara mitos dan realiti lebih jelas jika dibandingkan dengan hikayat
ini. Cara penceritaan juga berubah menjadi lebih jelas dengan pernyataan
peristiwa-peristiwa yang betul-betul berlaku. Di samping pengarang sendiri ada
orang-orang lain yang tahu tentang peristiwa-peristiwa itu. Tidak seperti
peristiwa-peristiwa yang dikemukakan pada bahagian awal penulisan yang cara
penyampaiannya adalah hasil pemikiran dan pengolahan pengarang sendiri. Cara
unsur-unsur mitos itu disampaikan bergantung kepada tujuan yang ingin dicapai
oleh pengarang.
Keistimewaan Hikayat
Merong Mahawangsa
Keistimewaan Hikayat Merong Mahawangsa yang
teragung ialah cara yang dipilih oleh pengarang untuk mengisahkan bagaimana
Raja Phra Ong Mahawangsa memeluk agama Islam. Keagungan dan keangkuhan
pengarang dari istana Kedah ini menghalang beliau dari mengulang sebut cara
yang sudah termaktub di dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu. Di
mana kedua-dua hikayat itu memperlihatkan unsur-unsur persamaan yang amat
jelas, Hikayat Merong Mahawangsa, atas kebijaksanaan pengarangnya mengemukakan
sejarah pengislaman yang tiada persamaannya dalam karya-karya historiogfari
yang lain. Gaya yang tersendiri ini ialah hasil kepintaran pengarang
menggembelingkan unsur-unsur realiti. Pengarang telah membuktikan bahawa beliau
mempunyai daya imaginasi yang kuat ketika mengolah bahagian ini.
Telah termaktub di jiwa pengarang bahawa peristiwa
raja memeluk agama Islam adalah peristiwa kemuncak dalam penulisannya. Dengan
itu kisah ini mestilah dikemukakan dengan sekuat-kuat impak dan kesan yang
terdaya. Peristiwa yang terpenting ini tidak mungkin dikemukakan dengan begitu
sahaja. Ia harus dikemukakan berlainan dari yang sudah ada dalam karya-karya
lain. Unsur mimpi seperti dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu
tidak akan memberi keadaan yang diharapkan. Unsur peperangan seperti Hikayat
Banjar tidak akan mencapai tujuan yang dimaksudkan oleh pengarang. Kisah
bagaimana Islam sampai ke Kedah mestilah mengatasi penceritaan-penceritaan lain
yang sudah ada. Ini hanya dapat dilakukan dengan mengadunkan unsur realiti
dengan mengadunkan unsur realiti dengan yang bukan realiti tetapi masih boleh
diterima akal.
Mungkin setelah membuat pertimbangan-pertimbangan
inilah akhirnya pengarang menulis tentang kedatangan Islam ke Kedah mestilah
mengadunkan unsur realiti dengan yang bukan realiti tetapi masih boleh diterima
akal.
Pertama sekali, pengarang mengatakan Islam yang
sampai ke Kedah itu telah dibawa oleh Sheikh Abdullah dari Baghdad. Pilihannya
wajar bukan sahaja nama itu mengandungi 'aura'nya yang terasing tetapi juga
kerana Baghdad tidak kurang pentingnya sebagai suatu pusat perkembangan dan
pentadbiran kerajaan Islam.
Walaupun Sejarah Melayu ada menyebut tentang
seseorang Raja Kedah pernah mengadap ke Melaka untuk menerima nobat, Hikayat
Merong Mahawangsa tidak menyentuh tentang perkara ini. Mungkin masa yang
dikemukakan dalam Hikayat Merong Mahawangsa lebih awal daripada yang disentuh
oleh Sejarah Melayu berhubung dengan peristiwa ini. Hikayat Acheh juga
menyentuh tentang kedatangan Islam ke Kedah tetapi Hikayat Merong Mahawangsa
menyepi tentang rujukan ini. Biarpun demikian, pengarang menyatakan pada masa Kedah
menerima Islam, Acheh telah lama memeluk agama itu. Dikatakan apabila Acheh
mendengar Kedah sudah Islam, rajanya mengirim dua buah kitab karangan Sheikh
Nuruddin al-Raniri untuk dikaji. Namun demikian jelas bahawa pengarang kita
enggan melibatkan kerajaan-kerajaan Melayu lain dalam karangannya dan
mengrekonstruksikan versinya yang tersendiri.
No comments:
Post a Comment