Definisi dan Konsep

Takrif Melayu

  • Menurut Alias Mohammad Yatim (1998:1), Bahasa Melayu adalah bahasa ibunda kepada orang keturunan Melayu atau bangsa Melayu. Bangsa Melayu pula merujuk kepada bangsa-bangsa Austonesia yang terdapat di Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu.
  • Istilah Melayu ditemui dalam tulisan Cina sebagai “Mo-lo-yeu” pada tahun 644 atau  645 Masihi. Kerajaan Melayu dikatakan mengirim utusan ke negara China untuk menghadiahkan hasil bumi kepada kerajaan China.
  • Istilah ‘Melayu’ terbit daripada perkataan Sanskrit ‘Malaya’ atau mungkin daripada perkataan Tamil ‘Malai’ yang bererti ‘bukit’ atau ‘Tanah Tinggi’
  • Dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu ada menyebut catatan dalam kesusasteraan China menyatakan bahawa pengembara yang singgah di Nusantara mendapati bahasa yang dituturkan penduduk di situ ialah bahasa ‘K’un-lun’. Bahasa ini dipercayai oleh penyelidik sebagai bahasa Melayu kuno.



Pengertian yang luas

Istilah Melayu merujuk kepada bangsa-bangsa Austronesia yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu dan kawasan-kawasan gugusan kepulauan Melayu. Berdasarkan “The Malay Culture Study Project” (1972), konsep Melayu merujuk kepada suku bangsa di Semenanjung Tanah Melayu, termasuklah orang-orang Melayu di Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar.
Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa pengertian Melayu merujuk kepada bangsa yang berbahasa Melayu yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu, pantai Timur Sumatera dan beberapa tempat lain di Nusantara.


Pengertian yang sempit

Pengertian yang sempit ialah seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu Perkara 153 mengatakan bahawa seseorang itu dapat ditakrifkan sebagai Melayu apabila memiliki ciri-ciri seperti: lazimnya berbahasa Melayu, berkebudayaan Melayu dan beragama Islam (yang murtad, tukar kewarganegaraan : taraf Melayu - hilang )

Tafsiran Melayu mengikut pengertian suku bangsa lebih berdasarkan etnik (keturunan biologi). Walaupun begitu, syarat berbahasa Melayu dan kebudayaan Melayu masih diperlukan. Walau bagaimanapun, mereka tidaklah semestinya beragama Islam. Untuk maksud ini, orang-orang Melayu ialah:

  • orang-orang Melayu seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia.
  • orang-orang Melayu yang mendiami kawasan Selatan Thai, Pesisir Sumatera (utara Medan, Deli, Serdang, Palembang, Riau, Lingga ) ada beragama Budha, Kristian
  • orang-orang Melayu di bahagian pertama Sarawak ada beragama Kristian
  • orang-orang Melayu di Brunei dan Sabah ada yang tiada agama, agama-agama lain
Tafsiran Melayu mengikut pengertian ras merangkumi penduduk Seluruh Nusantara. Berdasarkan kajian Geldern dan Kern, kumpulan bangsa Melayu berasal dari utara ke selatan. Mereka berasal daripada satu kelompok bangsa kemudian tersebar ke seluruh Nusantara. Pengertian mengikut ras ini lebih tertumpu kepada suatu rumpun bangsa yang besar dan berkaitan.


Etimologi

Etimologi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 402) bermaksud cabang ilmu linguistik yang mengkaji asal usul dan perkembangan sesuatu kata. Sementara, Pusat Rujukan Persuratan Melayu pula menyatakan “etimologi” itu sebagai cabang ilmu bahasa mengenai asal-usul perkataan serta perubahan pada bentuk dan maknanya ataupun cabang ilmu linguistik yang mengkaji asal-usul dan perkembangan sesuatu kata.


Etimologi “Melayu”

Perbincangan perkataan “Melayu” akan dilihat dari segi asal usul dan perkembangan perkataannya. Walau bagaimanapun, perkara utama yang harus ditekankan ialah perbincangan ini hanya meliputi kajian perkataaan tersebut terhadap karya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu sahaja. Justeru, dapat kita lihat bahawa sejauh mana perbincangan tentang asal usul perkataan “Melayu” itu sendiri dalam karya agung Sulalatus Salatin oleh Bendahara Tun Sri Lanang.

Sulalatus Salatin merupakan sebuah karya yang tercipta dari titah raja:

“Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh seseorang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita  yang kemudian daripada kita dan boleh diingatkannya oleh segala mereka itu, dan mudah-mudahan beroleh faedah  ia daripadanya.”
(A.Samad Ahmad, 2006: 2)

Terdapat satu petikan dalam bab II versi A.Samad Ahmad (2006:19) yang berbentuk;

“Alkisah maka tersebutlah perkataan ada sebuah negeri di tanah Andalas, Palembang namanya, Demang Lebar Daun nama rajanya. Asalnya daripada anak cucu Raja Sulan juga. Muara Tatang nama sungainya. Maka di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai, Melayu namanya. Dalam sungai itu ada sebuah bukit, Seguntang Mahameru namanya.”
(A.Samad Ahmad, 2006: 19)


Walaupun Tun Sri Lanang sendiri tidak mengatakan bahawa perkataan “Melayu” itu asalnya dari nama sebatang sungai, sebaliknya hanya sekadar ingin mengatakan terdapat sebatang sungai disana yang terdapat di Andalas, Palembang. Namun, secara tidak langsung beliau telah memberikan gambaran kepada masyarakat pada masa kini tentang keberadaan nama atau perkataan “Melayu” itu serta usia perkataan tersebut walaupun tidak secara terperinci.




Konsep karya agung


      Karya Agung dalam konteks dunia Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan zaman, yakni yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu. Nilai yang dimaksudkan ialah nilai seni, nilai budaya, nilai ilmu dan pemikiran yang terkandung di dalamnya, nilai pada teknik kepengarangannya yang luar biasa dan nilai bahasa yang tinggi dan indah (Abdul Rahman Napiah et al. 2013:1).

      Karya Agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Yang dimaksudkan dengan karya ulung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan bersama bangsa itu (Abdul Rahman Napiah et al. 2013:2).

      Karya Agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikiran bangsa Melayu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Karya Agung Melayu beerti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara dan sebagainya) dalam Bahasa melayu, tanpa mengambil kira kelompok bangsa atau etnik dalam kawasan Dunia Melayu, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu atau orang Melayu Brunei, Aceh, Bugis dan selainnya yang menghasilkan karya itu. Sempadan geografi dan etnik tidak timbul dalam perkara ini. Yang penting, karya berkenaan mampu mencetuskan unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-temurun (Abdul Rahman Napiah et al. 2013:3).


      Karya Agung Dunia Melayu merujuk kepada karya agung di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Melayu-Polinesia yang lain. Terdapat banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bahasa berkenaan sebagai karya agung, antaranya Nagarakertagama atau Serat Centhini yang ditulis dalam bahasa Jawa atau I La Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis (http://www.yayasankaryawan.com). 





Rujukan

A. Samad Ahmad (2006). Sulalatus salatin: Sejarah Melayu Edisi Pelajar. Kuala Lumpur:
      Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Rahman Napiah, Lanang Jaya Hj. Rohani, Hj. Mohd. Rashid Idris dan Hj. Naffi Mat
      (2013). Penghayatan karya agung Melayu (KBR 3063). Pusat Pendidikan Luar.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sumber internet. Diperoleh pada April 5, 2014 daripada http://www.yayasankaryawan.com

No comments:

Post a Comment